Lagi isu perkauman!

Kali ini, isu perkauman membabitkan penyokong Russia terhadap pemain Perancis ketika aksi persahabatan antarabangsa, semalam.

Ketika Perancis mencipta kemenangan yang ketiga berbalas satu di St Petersbug, jurugambar agensi berita (Reuters) yang berada di atas padang itu, mendakwa mendengar laungan seperti suara monyet dihalakan kepada pemain-pemain Perancis sebanyak beberapa kali.

Dakwaan tersebut akan disiasat Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berikutan bukti berpotensi berhubung dengan kejadian diskriminasi perkauman yang dilaporkan media, termasuk daripada FARE (Bolasepak Tolak Perkauman di Eropah) yang datang menyaksikan perlawanan tersebut.

Antara yang didakwa menjadi mangsa ialah pemain Chelsea, N’Golo Kante ketika dia sedang mengambil bola di tepi padang.

Dalam pada itu, usaha menentang diskriminasi perkauman dalam bola sepak semakin mencetuskan kebimbangan kerana kurang tiga bulan lagi sebelum Piala Dunia di Russia membuka tirainya.

Russia berjanji untuk memerangi isu perkauman ketika negara berkenaan meningkatkan pengawasannya terhadap isu berkenaan menjelang Piala Dunia yang dijadual bermula pada 14 Jun hingga 15 Julai ini di 11 buah bandaraya termasuk Moscow, St Petersburg dan Sochi.

Menurut Menteri Sukan Perancis, Laura Flessel-Colovic dalam satu kenyataannya di Twitter berpendapat masyarakat perlu bekerjasama di peringkat Eropah dan antarabangsa untuk menangani isu perkauman yang tidak boleh diterima lebih-lebih lagi isu ini tidak mempunyai tempat di atas padang bola sepak.

Insiden perkauman sudah menjadi kebiasaan di Liga Perdana Russia termasuk daripada peminat beberapa kelab ternama antaranya Zenit St Petersburg.

Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) membuka prosiding terhadap kelab berkenaan pada minggu lalu berikutan laungan membabitkan perkauman yang dilaungkan penyokong mereka ketika aksi Liga Europa melawan RB Leipzig. – Reuters

Foto Kredit: Sky Sport