Lagi isu terbaru membabitkan kes doping atlet angkat berat. Kali ini, ia menyaksikan seramai lima atlet angkat berat negara digantung empat tahun oleh Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) selepas disahkan positif pengambilan bahan terlarang.

Lebih membimbangkan, risiko Badan Dunia untuk mengambil tindakan pergantungan ke atas PABM semakin tinggi berikutan peningkatan kes doping yang melibatkan atlet dari Malaysia untuk mendapatkan prestasi yang maksimum.

Kes berkenaan  melibatkan pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2014 Glasgow, Hafifi Mansor, pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel Gold Coast, Mohamad Fazrul Azrie Mohdad dan tiga atlet pelapis – Muhammad Hakimie Haikal Nordin, Muhamad Zaidi Mohd Nordin dan Ronny Jesos.

Sehubungan iu, Pre­siden PABM, Datuk Ayub Rahmat berkata mereka dilarang menyertai mana-mana acara selama tempoh pergantungan selama empat tahun.

“Mereka digantung dan dilarang menyertai mana-mana aktiviti serta kejohanan selama tempoh penggantungan.

“Atlet tersebut juga telah menjalani sesi pendengaran dalaman untuk mem­bela diri sebelum keputusan ini diputuskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kecil Disiplin PABM dan dibawa dalam Mesyuarat Exco PABM,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dalam perkembangan lain, Ayub memberitahu bahawa keputusan yang dibuat sudah dimaklumkan kepada semua pihak bagi tindakan selanjutnya.