Connect with:




Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ibni Amin Busu mendedahkan dua atlet Terengganu yang beraksi di Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Perak, September lepas, dikesan positif ujian doping.

Mengakui kesal dengan isu terbabit, beliau menyatakan atlet terbabit adalah seorang lelaki dan wanita. Pendedahan ini juga mengakibatkan kontinjen juara keseluruhan itu kehilangan satu pingat emas, satu perak dan dua gangsa.

Enggan mendedahkan identiti individu terbabit Ibni sebaliknya menyerahkan hal berkenaan kepada badan siasatan dan dijangkakan keputusan akan diperoleh dalam tempoh dua minggu.

“Namun satu pingat emas dan satu gangsa diperoleh kembali apabila ada atlet negeri lain terlibat sama dalam isu doping dan secara automatiknya atlet terbabit juga harus mengembalikan pingat yang telah mereka menang di Perak tempoh hari.

“Buat masa sekarang kita tidak akan dedahkan lagi nama (atlet) kerana hal ini masih dalam siasatan bagi memastikan di mana puncanya kerana kami telah ingatkan kepada semua atlet untuk hindarkan diri dari bahan-bahan larangan.

“Kita akan mencari mana silapnya kerana dalam kem latihan terakhir pun kita panggil pegawai daripada ADAMAS (Agensi Antidoping Malaysia) untuk memberi taklimat mengenai isu bahan-bahan yang terlibat doping,” ujarnya sesudah Majlis Penyampaian Insentif Sukma 2018 oleh Menteri Besar, Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, Terengganu, malam tadi.

Terdahulu beberapa akhbar tempatan melaporkan dua atlet angkat berat yang beraksi dalam acara angkat berat pada Sukma 2018 di Perak, bulan lalu turut dikaitkan kontroversi penyalahgunaan bahan terlarang dan disahkan gagal ujian doping. Pendedahan terbabit mendapat pengesahan Presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat.

 

Foto : Facebook Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK)

Sumber : Bernama