Penyerang sensasi The Gunners, Alexandre Lacazette mencuri tumpuan pada perlawanan Arsenal menentang West Bromwich Albion dengan meledak dua gol.

Pemain tengah West Bromwich, Barry telah memecah rekod penampilan Ryan Giggs dalam persada Liga Perdana Inggeris dengan bermain sebanyak 633 perlawanan namun, Lacazette menamatkan permainan dengan mendapat tumpuan di Stadium Emirates.

Penyerang muda dari Perancis membuka tirai jaringan menerusi tandukan yang cantik selepas sepakan percuma dari Alexis Sanchez terkena palang gol lalu ditanduk oleh Lacazette, namun pada minit ke-66 Lacazette sekali lagi meledak menerusi sepakan penalti yang berjaya disempurnakan oleh beliau.

Lacazette juga antara pemain Arsenal pertama menjaringkan gol dalam tiga perlawanan pembukaan liga sejak Brian Marwood pada tahun 1988.

The Gunners kini menduduki tangga ketujuh Liga Perdana Inggeris selepas tanpa kalah dalam lima perlawanan di semua kejohanan sejak dimalukan Liverpool tempoh hari.

“Dia semakin bagus pada setiap perlawanan, sentuhan pertama yang bagus dan bijak mencipta pergerakan yang baik.” Ujar pengurus pasukan Arsenal, Arsene Wenger terhadap Lacazette.

Sanchez juga memulakan permainan buat kali kedua pada musim ini dalam Liga Perdana Inggeris, ia juga penampilan kali pertama digandingkan bersama Lacazette selepas kehadiran pemain itu pada pra musim. – AFP

Foto Kredit: Facebook Arsenal