Tottenham Hotspur terpaksa menelan kekalahan 0-3 di tangan Manchester City dalam aksi pra musim di Amerika Syarikat baru-baru ini.

Perlawanan tersebut menjadi lebih tegang apabila penyokong Spurs mencemuh Kyle Walker yang telah berhijrah ke Manchester City.

Bagi Pengurus Spurs, Mauricio Pochettino situasi tersebut dilihat sebagai perkara biasa dalam arena bola sepak.

Bagaimanapun, beliau turut bersimpati terhadap bekas pemainnya.

“Saya amat memahami situasi tersebut. Cemuhan dan kutukan daripada penyokong terhadap Walker adalah kerana mereka sangat begitu menyayanginya yang pernah bersama kelab ini sejak sembilan tahun lalu.

“Bagi saya ia bukan satu isu besar, tetapi saya tetap merakamkan rasa simpati terhadapnya,” katanya.

Sebelum ini Manchester City telah membeli Walker dengan yuran perpindahan sebanyak £50 juta.