SHAH ALAM – Dua penembak terbaik negara Nur Ayuni Farhana Abdul Halim dan Muslifah Zulkifli digugurkan daripada skuad menembak.

Kedua-dua mereka ini digugurkan terus namanya daripada skuad menembak negara bagi Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) ogos ini berikutan masalah disiplin yang mereka hadapi.

Walaupun menyerlah di beberapa kejohanan yang disyaratkan oleh Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) sebagai medan pemilihan, tetapi itu belum cukup untuk menjamin nama mereka akan tersenarai.

Setiausaha Kehormat NSAM Adam Tee menegaskan faktor utama mereka berdua digugurkan kerana kemerosotan prestasi selepas digugurkan daripada Program Podium.

“Ayuni dan Muslifah tidak berada dalam pasukan. Prestasi mereka semakin merosot dan ditambah pula menimbulkan banyak masalah antaranya disiplin.

“Perkara itu sudah cukup untuk menjejaskan sesi latihan dan menyebabkn mereka gagal menyerlah dalam pertandingan yang disertai.

“Dalam acara menembak, disiplin sangat penting dan merupakan faktor utama mengapa mereka digugurkan,”katanya.

Adam berkata, kesemua senarai pemilihan atlet diputuskan oleh ketua jurulatih selepas mendapati atlet lain lebih baik daripada dua penembak itu.

Sebagai persedian awal, seramai 17 atlet menembak kini berada di Korea untuk menjalani latihan bagi memastikan sasaran emas menjadi realiti.