Kemelut perpindahan yang berlaku di antara pasukan Felda United dan Selangor akhirnya telah berakhir, setelah pemain skuad emas Sukan SEA ke 26, Yong Kuong Yong sah menandatangani kontrak selama 1 tahun bersama pasukan “The Settlers” bagi kempen Liga Super pada musim hadapan.

Permasalahan dikatakan bermula selepas Kuong Yong telah pun menandatangani kontrak bersama pasukan Felda United sebelum bergerak ke Jakarta untuk saingan Sukan SEA ke 26, dan kemudiannya menandatangani perjanjian persefahaman dengan pasukan Selangor setelah beliau dipancing ketika berada di sana, dan dikatakan perkara mengenai kontrak barunya bersama skuad Felda United akan dapat diselesaikan untuk terus di bawa ke skuad Gergasi Merah.

Walaupun bagaimanapun, pasukan Felda United tetap enggan untuk melepaskan Kuong Yong kepada pasukan Selangor. Akhirnya, Kuong Yong memilih untuk terus menyarung jersi Felda United untuk musim hadapan.

“Ini merupakan kali pertama saya bermain untuk pasukan yang lain setelah begitu lama dengan pasukan Kuala Lumpur. Jadi mengenai hal perpindahan ini, perkara ini merupakan perkara baru bagi saya. Oleh itu, saya akan lebih berhati-hati dalam membuat keputusan supaya tidak merugikan mana-mana pihak selepas ini. Mengenai pasukan baru saya ini, mulai hari esok(25 November 2011), saya akan mulakan sesi pertama saya bersama pasukan Felda United dan saya akan berikan yang terbaik buat pasukan baru ini.” ujar Kuong Yong.

Kehadiran Kuong Yong ke pasukan Felda United kini dijangka akan memantapkan lagi jentera serangan pasukan Felda yang dilihat gagal membuahkan sebarang kejuaraan, terutamanya setelah tewas pada pusingan suku akhir Piala Malaysia 2011 setelah tewas kepada pasukan Negeri Sembilan dengan agregat 3-1.