Pengendali skuad B-22 negara, Datuk Ong Kim Swee yakin tentang peluang pasukannya dalam kempen kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Bawah 23 di China, tahun depan.

Pasukan tanah air bakal menghadapi ujian getir apabila tergolong dalam kumpulan C atau lebih dikenali sebagai ‘kumpulan maut’ bersama Arab Saudi, Iraq dan Jordan.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2013, buat julung kalinya Harimau Malaya akan beraksi dalam kejohanan ini namun bakal menghadapi kesukaran dalam menentang tiga kuasa besar bola sepak rantau Arab.

Jelas sekali, juara pada tahun 2013, Iraq merupakan pasukan kegemaran untuk mara ke peringkat suku akhir tetapi Kim Swee percaya pasukannya mempunyai peluang yang sama.
“Iraq adalah pasukan kegemaran kerana mereka mempunyai ramai pemain muda yang bagus.

“Tetapi saya percaya bahawa pasukan saya dapat mengharungi cabaran yang dihadapi mereka dan ia boleh memberikan pengalaman kepada mereka semua. Sasaran kami adalah untuk melepasa peringkat kumpulan,” kata bekas pemain Sabah itu.
Malaysia membuat penampilan pertamanya dalam kejohanan ini selepas mendahului kumpulan mereka di hadapan Thailand, Indonesia dan Mongolia dalam kempen kelayakan di Bangkok pada bulan Julai lalu.

 Foto Kredit: Asiana.MY