Tahun lalu, Le Tour de Langkawi (LTdL) terpalit dengan isu pembayaran wang hadiah kepada peserta dan pasukan tetapi bagi penganjuran edisi 2018, penganjur LTdL (2018) memberi jaminan perkara tersebut tidak akan berlaku lagi.

Nama baik negara tercemar apabila penganjur edisi 2017 gagal melunaskan wang kemenangan pada masa yang ditetapkan.

Perkara itu didedahkan oleh pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Hariff Salleh pada Oktober tahun lepas di mana dia dan rakan sepasukannya masih belum menerima wang kemenangan LTdL 2017, malah hadiah daripada Jelajah Malaysia (JM) 2016 juga belum diperoleh.

Malah pelumba berpengalaman negara, Mohd Fauzan Ahmad Lufti turut mempersoalkan ke mana perginya wang kemenangan JM dan Tour de Selangor (TdS) 2017 yang hingga kini masih belum diperoleh.

Ekoran isu berkenaan, Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) tidak membenarkan LTdL 2018 ditambah daripada lapan kepada 10 peringkat ekoran rekod buruk pembayaran hadiah wang tunai dalam beberapa perlumbaan berbasikal yang dianjurkan di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif LTdL 2018, M. Kumaresan berjanji pihaknya akan memastikan masalah kegagalan melunaskan wang kemenangan tidak akan berlaku lagi.

“Semuanya mengikut jadual dan bajet yang ditetapkan. Hara-harap tiada masalah.

“Apa yang boleh saya katakan, semuanya boleh dilunaskan dengan baik. hampir RM1 juta wang hadiah kemenangan, sama seperti edisi-edisi lalu.

Lima syarikat tempatan tampil memberi suntukan penajaan untuk edisi ke-23 LTdL, beberapa hari sebelum jelajah berbasikal terunggul itu membuka tirainya pada Ahad hingga 25 Mac ini.

“KBS beri geran RM12 juta, dengan penambahan penajaan hari ini dapat membantu kami untuk lebih melancarkan (penganjuran perlumbaan). Kami sekarang sudah 90 peratus bersedia untuk menganjurkan LTdL 2018,” kata Kumaresan, yang merupakan bekas pelumba lebuh raya dan mara ke pusingan akhir perlumbaan kutip mata dalam Olimpik Barcelona pada 1992.

Foto Kredit : astroawani(dot)com