London: Rata-rata peminat bekas nombor satu dunia Roger Federer kecewa selepas empat tahun pemain kegemaran mereka kemarau gelaran utama sejak 2013.

Namun, Federer membukitkan dia masih ‘berbisa’ apabila mengejutkan dunia pada 2017 dengan memenangi dua gelaran Grand Slam dan kini peminatnya mungkin boleh menyaksikan penguasaan legenda tenis itu untuk sekurang-kurangnya dua musim lagi.

Menurut bekas jurulatihnya Paul Annacone, beliau menganggap Federer sudah membuktikan mengapa dia antara salah seorang pemain terbaik yang perlu digeruni dalam permainan ini.

“Federer memenangi dua gelaran Grand Slam pada 2017 selepas empat tahun kemarau gelaran utama,” katanya.

Dia menamatkan musim ini sebagai pemain kedua dunia terbaik dunia di belakang musuh utama Rafael Nadal dan kelihatan berada di tahap kemuncak fizikalnya.

Penyokong turut mengharapkan Federer mampu meraih gelaran Grand Slam ke-20 tahun depan biarpun dengan kehadiran semula Novak Djokovic dan Andy Murray.

Menurut Annacone, yang juga pernah bersama Pete Sampras dari 1990 sehingga awal 2000, menjangkakan pemain kelahiran Swiss itu mampu mengekalkan keupayaannya sehingga tamatnya kempen 2019.

“Selepas melihat Pete dan apa yang dilaluinya kemudian memenangi Terbuka Amerika Syarikat pada 2002, saya mengangkat tangan dan memutuskan untuk tidak pernah memandang rendah apa yang mampu dilakukan oleh atlet handalan dunia,” katanya kepada Express Sport.

“Ia kerana mereka seorang yang luar biasa dan sukar untuk dijangka.

“Roger sangat berbeza dan seorang yang dilahirkan mempunyai bakat semula jadi dan saya tidak tahu apa yang perlu diramalkan lagi.

“Apabila anda melihat kemahirannya dan bagaimana Roger bermain di kejohanan besar tahun ini, saya tidak tahu mengapa dia tidak boleh mengekalkan rentaknya permainannya untuk tahun seterusnya, mungkin 12 atau 24 bulan lagi.” katanya.

Sumber: Agensi