Pasukan Perak berjaya meraih 3 mata apabila jaringan jarak 20 meter yang disumbangkan oleh pemain tengah, Michel Kubala menjadi satu-satunya jaringan yang berjaya dihasilkan di dalam perlawanan yang berkesudahan dengan keputusan 1-0.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Ipoh, Perak memihak kepada pasukan Perak setelah mereka beraksi dengan kemas serta berjaya menguasai hampir keseluruhan tempoh perlawanan. Pada separuh masa pertama, pasukan Perak beraksi dengan baik apabila berjaya menghasilkan gerakan-gerakan yang menarik hasil gerakan Michel Kubala, namun bahagian penyudah pasukan mengecewakan mereka.

Penjaga gol Terengganu, Sharbinee Allawee turut beraksi dengan cemerlang apabila berjaya mengekang asakan bertali arus pasukan Perak yang diketuai Akmal Rizal, dan Laza Popovic. Walau bagaimanapun, pasukan Terengganu mula menemui rentak perlawanan apabila berjaya mengimbangi perlawanan. Namun, jaringan cantik Michel Kubala pada minit ke 75 menghancurkan tempo perlawanan pasukan Terengganu, apabila perlawanan kembali dikuasai pasukan Perak selepas itu. Keputusan perlawanan kekal hingga tamat perlawanan, dan pertemuan yang diadili oleh pengadil, Kamal Ahmad ini berakhir tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

Skuad Johor FC pula memungut 3 mata penuh apabila menewaskan tuan rumah, Selangor PKNS dengan keputusan 2-1 di Stadium Petaling Jaya. Riduan Maon menjaringkan gol pertama Johor FC pada minit ke-25 hasil umpanan Eddy Helmy Abdul Manan. Azi Shahril menggandakan gol untuk pasukan apabila sepakan penalti pada minit ke-76 menewaskan penjaga gol tuan rumah. Selangor PKNS akhirnta memperoleh gol saguhati pada minit ke-81.

Di Stadium Paroi, Seremban, Selangor bangkit dari ketinggalan 2 gol untuk menyamakan kedudukan di babak kedua. Negeri Sembilan menggegar di babak pertama hasil dua jaringan Jean Emmanuel Effa Owona tetapi separuh masa kedua milik Selangor dengan gol dijaringkan oleh Amirulhadi Zainal dan penalti Safiq Rahim.

Di Stadium Hang Jebat, Melaka, Felda United berjaya menewaskan pasukan Sabah 2-0 di dalam perlawanan yang penuh dengan kontroversi. Pasukan Sabah menguasai keseluruhan perlawanan, namun kealpaan pertahanan telah mengakibatkan pasukan Sabah dibolosi sebanyak 2 kali hasil jaringan Yong Kuong Yong. Brendan Gan hampir mencatat nama sebagai penjaring, tetapi 2 gol jaringannya dibatalkan atas keputusan ofsaid oleh penjaga garisan.

Sementara itu di Stadium Jalan Besar, Singapura, tuan rumah iaitu LionsXII bermula dengan langkah kiri apabila tumbang kepada Juara Liga Super 2011, Kelantan dengan jaringan 2-1. Mohamed Ghaddar menyumbangkan gol kemenangan setelah berjaya menyempurnakan tendangan penalti pada minit ke 84 setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada separuh masa pertama hasil jaringan Baihakki Khaizan untuk LionsXII dan Norshahrul Idlan Talaha untuk pasukan Kelantan.

Sarawak pula menumpaskan Kuala Lumpur dengan jaringan 2-0 di Stadium Negeri, Kuching hasil jaringan K. Ravindran pada minit ke-71 dan Mohd Hairol Mokhtar pada minit ke-81

Manakala di  Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu, pasukan T-Team berjaya membenam Kedah dengan keputusan 3-0. Jaringan yang dihasilkan adalah hasil sumbangan Muhd Faiz Subri pada minit ke-11 dan ke-29, dan jaringan Zairo Anuar Zalani pada minit ke-33 hasil tendangan sepakan penjuru yang terus menerjah jaring, meninggalkan pemain Kedah di dalam keadaan terpaku.