Kuartet 4 x 100 meter wanita, menghadiahkan keceriaan buat negara dengan menggondoli pingat emas di Kejohanan Trek dan Padang Terbuka Thailand 2017 di Kompleks Sukan Universiti Thammasat, hari ini.

Gandingan Shereen Samson Vallabouy, Siti Fatimah Mohamad, S.Komalam Shally dan Zaidatul Husniah Zulkifli mencatat kemenangan 45.19s sekali gus memecahkan rekod negara tahun 2016 dengan catatan 45.32s.

Pingat perak dalam acara itu menjadi milik kuartet Thailand dengan kepantasan 45.29s diikuti gandingan kuartet Singapura yang beroleh pingat gangsa dengan catatan masa 45.65s.

Menurut Institut Sukan Negara (ISN), catatan masa 45.19 itu merupakan catatan pada tahap pingat gangsa di persada Sukan SEA.

Tambahannya, kuartet wanita memerlukan catatan 44.2s – 44.3s untuk menggapai pingat emas untuk Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos nanti.

Catatan rekod 45.32s sebelum ini dicipta gandingan Siti Fatimah Mohamad, Zaidatul Husniah Zulkifli, Nurul Faizah Asma Mazlan dan S.Komalam Shally di Kallang ketika KejohananTerbuka Singapura pada 28 April 2016 yang lalu.