Connect with:




Semalam, Pengerusi ASEAN, Jen.Prayuth Chan o-cha, yang juga Perdana Menteri Thailand, mengumumkan badan serantau itu bersetuju untuk membangunkan satu usaha bersama bagi membida sebagai tuan rumah Piala Dunia 2034.

Ini bukanlah perkara baharu kerana hasrat Asean untuk menganjurkan acara bolasepak paling berprestij tersebut telah disuarakan beberapa kali sejak tahun 2011 lagi.

Berikut kronologi pendirian Asean untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia.

2011 – Pemimpin-pemimpin negara ASEAN bersetuju dengan cadangan untuk menganjurkan Piala Dunia pada tahun 2030.

2013 – Timbalan Presiden FAM ketika itu, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengumumkan Malaysia akan mengetuai bidaan ASEAN untuk menganjurkan Piala Dunia.

2014 – Kongres tahunan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) di Medan, Sumatera berakhir dengan usul agar Asean menganjurkan Kejohanan Piala Dunia 2034 yang akan dikemuka kepada negara anggota untuk dipertimbangkan. Setiausaha Agung AFF, Datuk Azzuddin Ahmad berkata penganjuran Piala Dunia itu penting untuk pembangunan bola sepak di semua negara anggota AFF.

JULAI 2017 – Timbalan Pengerusi Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI), Joko Driyono berkata Indonesia akan menjadi konsortium dalam bidaan menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034. PSSI pada 2010 pernah membuat bidaan untuk menganjurkannya untuk edisi 2022 namun ditolak oleh FIFA kerana tidak mendapat sokongan penuh kerajaan.

SEPT 2017 – Media melaporkan Indonesia dan Thailand berhasrat untuk menganjurkan Piala Dunia bersama. Hasrat tersebut disokong oleh AFF.

JUN 2018 – Bekas Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Peter Velappan percaya, empat negara ASEAN – Malaysia, Thailand, Indonesia serta Vietnam harus bergabung untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia.

MAY 2019 – Tiga negara Asean meluahkan hasrat untuk menganjurkan Piala Dunia Bawah 20 tahun pada 2021. Indonesia mahu menjadi tuan rumah bersendirian sementara Thailand dan Myanmar mahu menganjurkannya bersama.

JUN 2019 – Dalam Sidang Kemuncak Asean ke-34 di Bangkok, kesemua 10 negara anggota ASEAN bersetuju untuk membangunkan satu usaha bersama bagi membida sebagai tuan rumah Piala Dunia 2034

Secara keseluruhannya, boleh dikatakan setiap kali adanya sidang kemuncak Asean atau kongress AFF, pasti akan ada berita mengenai kesediaan Asean untuk menganjurkan Piala Dunia.

Pada pendapat anda, adakah ASEAN sudah bersedia dan mampu untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia?