Connect with:




Bermain di Anfield pada musim Krismas dan sapu bersih kemenangan! Itulah hadiah Krismas paling bermakna buat Liverpool selepas mereka bergaya menumpaskan Newcastle United 4-0, semalam.

Lebih manis buat anak buah Klopp apabila mereka sekali lagi berjaya menjauhkan jarak kedudukan dengan selesa di puncak Liga perdana Inggeris bersama seteru utama, Manchester City.

Dalam pada itu, kekalahan Manchester City 1-2 kepada Leicester City menyaksikan mereka merosot di tempat ketiga manakala Spurs pula merampas tangga kedua daripada mereka selepas menang besar 5-0 ke atas Bournemouth.

Babak pertama memperlihatkan pemain pertahanan, Jamaal Lascelles tidak kemas dalam membuang bola dari kawasan bahaya sekaligus menyaksikan Dejan Lovren bijak menggunakan peluang mencetak gol pembukaan pada minit ke-11.

Newcastle bertahan sehingga tiupan wisel yang pertama, namun pada awal babak kedua menyaksikan Liverpool dihadiahkan sepakan penalti menerusi pemain Mesir, Mohamed Salah dijatuhkan Paul Dummet. Salah berjaya menyempurnakan sepakan penalti – gol ke-13 liga setakat ini.

Liverpool meneruskan tekanan dan Xherdan Shaqiri menyumbang gol ketiga pada minit ke-79. Fabinho kemudiannya menjaringkan gol keempat tuan rumah apabila menanduk masuk bola sepakan sudut Salah.

Kini, Liverpool memiliki kelebihan enam mata berbanding Tottenham Hotspur yang mengumpul 46 mata sementara kekalahan ketiga City dalam empat perlawanan terakhir menyaksikan mereka ketinggalan tujuh mata di belakang pendahulu, Liverpool.