Connect with:




Selepas beberapa pemain pilihan skuad hoki wanita negara mempamerkan aksi yang tidak memberangsangkan pada Sukan Komanwel Gold Coast 2018, jurulatihnya, Dhaarma Raj Abdullah mungkin terpaksa mendapatkan semula khidmat Nur Zafirah Aziz dan Nurul Safiqah Mat Isa.

Pada mulanya, beliau ingin menagih khidmat penyerang muda, Nur Maizatulhanim Syafi Sheikh Fuad dan Nor Asfarina Isahyifika untuk kempen Trofi Juara-Juara Asia bermula 13 Mei ini namun terpaksa melupakan hasratnya selepas kedua-dua pemain itu kini terikat dengan komitmen beraksi dalam Kelayakan Sukan Olimpik Remaja B-18 Asia di Bangkok, bermula semalam hingga Ahad ini.

Dalam pada itu, Dhaarma yang sudah dua tahun mengendali Malaysian Tigress hanya mempunyai tempoh sehingga Jumaat ini bagi menyerahkan senarai penuh pemain kepada Persekutuan Hoki Asia (AHF).

Walau bagaimanapun, Zafirah dan Safiqah yang masing-masing yang beraksi di posisi penyerang dan pertahanan pernah diketepikan untuk satu tempoh yang panjang dan tidak terpilih ke Gold Coast tatkala diberi kepercayaan untuk menyertai kem latihan negara.

Dhaarma tiada pilihan lain selain menagih khidmat kedua-dua pemain.

“Kedua-dua pemain ini mempunyai peluang yang cerah. Saya perlu mengambil risiko tanpa melihat gaya permainan terkini mereka selepas lebih sebulan tidak bersama pasukan.

“Saya sebenarnya nak bawa pemain muda ke Korea Selatan untuk bagi pendedahan, tapi mereka kini mempunyai komitmen di Thailand. Dengan saya perlu menyerahkan nama selewat-lewatnya Jumaat ini, ia menyebabkan saya berada dalam dilemma,” katanya.

Punca utama yang menyinggah skuad hoki wanita negara adalah kurangnya kekuatan di bangku simpanan hingga memaksa jurulatih kelahiran Melaka itu tidak mengamalkan sistem penggiliran terutamanya di bahagian pertahanan.

Malaysian Tigress bakal turun sebagai pasukan bukan pilihan di belakang China, India, Jepun dan tuan rumah Korea Selatan di Trofi Juara-Juara Asia.

Foto Kredit: Malaysian Tigress