PUTRAJAYA (Bernama) — Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bercadang untuk memperkenalkan beberapa acara sukan yang kurang diberikan tumpuan di peringkat negeri seperti kriket, woodball dan besbol pada Sukan Malaysia (Sukma) tahun depan yang akan diadakan di Lembah Klang.

Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata keputusan negeri-negeri yang memilih untuk tidak menganjurkan sukan-sukan itu pada temasya Sukma berkemungkinan disebabkan faktor ketiadaan venue pertandingan serta ia merupakan sukan tidak wajib.

“Sebab itulah, kita (bercadang) memperkenalkan sukan-sukan sebegini bagi membolehkan sukan yang sukar dipertandingkan di peringkat negeri dipertandingkan di sini oleh Majlis Sukan Negara (MSN),” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma di Menara KBS di sini hari ini.

Ahmad Shabery berkata Universiti Putra Malaysia (UPM) akan menjadi venue perkampungan sukan untuk menampung atlet dan pegawai sukan pada Sukma tahun depan yang dijadualkan berlangsung dari 28 Jun-7 Julai.

Ditanya mengenai persediaan Perlis untuk menganjurkan Sukma 2014, beliau berkata beliau berpuas hati dengan komitmen yang diberikan oleh negeri tersebut termasuk proses menaik taraf venue pertandingan sedia ada selain pembinaan venue baharu pertandingan seperti velodrom, lapang sasar menembak dan skuasy.

“Saya yakin dengan adanya kemudahan sukan sebegini, ia akan memberi kesan kekal kepada Perlis di mana mereka akan mendapat kemudahan sukan yang jauh lebih baik yang mereka ada sebelum ini,” katanya.

Pada masa yang sama, Ahmad Shabery meminta negeri-negeri yang diberikan hak penganjuran Sukma pada masa akan datang untuk memperbaiki tiga kelemahan ketara iaitu pengurusan sistem maklumat acara sukan yang berulang-ulang, kekurangan  penonton di venue pertandingan dan kelewatan pengeluaran keputusan acara sukan.

“Jadi, saya berharap negeri yang terpilih untuk menganjurkan Sukma pada tahun-tahun mendatang dapat mengatasi kelemahan-kelemahan ini,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Ahmad Shabery berkata pihaknya menganggarkan kos pembinaan velodrom tertutup di Negeri Sembilan sebagaimana yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Belanjawan 2013 mencecah sekitar RM70-80 juta.

“Kita akan mendapatkan nasihat perunding daripada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) mengenai pembinaan velodrom berkenaan dan bagi saya, pembinaan (velodrom) itu tidak perlu terlalu besar tetapi memadai sekiranya ia memenuhi kriteria untuk kita menganjurkan kejohanan bertaraf dunia,” katanya.

Selain pembinaan velodrom itu, kerajaan turut bercadang untuk membina sebuah akademi badminton kebangsaan di Bukit Kiara dengan kos keseluruhan berjumlah RM80 juta menerusi Belanjawan 2013. – BERNAMA