Connect with:




“A gentleman’s game”.

Itu adalah gelaran untuk sukan kriket di England. Sukan ini satu ketika dahulu ia dimainkan oleh golongan elit sahaja. Hari ini, ia dimainkan oleh semua lapisan masyarakat.

Namun, kriket tetap dipandang tinggi sebagai satu sukan yang ‘ada kelas’. Bintang-bintang dan lagenda dunia dari sukan ini mempunyai karekter tersendiri selain mempunyai karier luar padang yang cemerlang.

Bagi Ahmad Faiz Mohammad Noor, kriket sememangnya membentuk sahsiah peribadinya selain membantu dari segi kariernya sendiri.

Pengalaman dan kualiti kepimpinan yang ada pada Faiz seterusnya memberinya laluan untuk menjadi ketua pasukan skuad senior kebangsaan dari tahun 2013 hingga 2017. Faiz berusia 24 tahun ketika mula-mula dilantik sebagai ketua pasukan.

Selain masih bermain di peringkat tertinggi, Faiz juga kini bergelar ketua jurulatih pasukan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) yang juga bekas sekolah menengahnya.

“Sebelum ini, saya bertugas sebagai guru di SSBJ. Tahun ini, saya dilantik sebagai jurulatih sepenuh masa. Saya juga merupakan warden di sana.

“Mereka (para pelajar) tak boleh nak beri helah, saya sendiri sudah belajar di sana sejak tingkatan 1” kata pemegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sukan dan Rekreasi UKM ini.

Kini memiliki sijil tahap 2 kejurulatihan Majlis Kriket Asia (ACC), Faiz tekad untuk membangunkan kriket di seluruh negara.

“Sebagai pemain, banyak ilmu yang telah saya belajar dengan jurulatih-jurulatih sebelum ini. Pada 2014, saya bermula belajar selok belok pengurusan pembangunan sukan ini.

“Saya pergi ke banyak tempat termasuk di luar bandar. Saya nampak kita ada kekurangan dari segi logistik dimana mereka bermain menggunakan pelepah kelapa sahaja. Ia satu alat bantu belajar yang kreatif dan menarik cuma kita perlu bantu dari segi kemudahan untuk menaikkan taraf permainan mereka” jelasnya.

Terbaharu, Faiz turut membantu menterjemahkan buku peraturan ke dalam Bahasa Malaysia bagi memudahkan semua orang memamhaminya.

“Kriket tidak disangkal kali membentuk keperibadian dan karier pemain itu sendiri. Saya bersyukur dapat terlibat dengan sukan yang saya cintai ini” kata Faiz.

Pemain kriket kini juga diburu institusi pengajian tinggi yang menawarkan proram diperingkat diploma dan ijazah sarjana muda. Selain itu, perkhidmatan ketenteraan seperti TUDM dan TLDM turut mula mengambil pemain kriket untuk diserap ke dalam perkhidmatan mereka.