Jeremy Koo bersama krew Koo Racing Team menguasai siri pertama Sirkit Kejohanan ‘Match-Racing’ Malaysia 2012 apabila berjaya memenangi kejohanan tersebut selepas menewaskan Hazwan Hazim Dermawan dan Permai Hotel Sailing Team dalam perlawanan akhir di Pengkalan TLDM Lumut semalam.

Koo jelas berada dalam kelas tersendiri apabila menamatkan pusingan kelayakan dengan rekod sempurna 6-0 untuk melayakkan diri ke peringkat separuh akhir dengan bergaya di hari kedua pertandingan.

Hazwan turut mengiringi Koo dengan rekod 5-1 sementara Harisfabillah Muhammad bersama pasukan Royal Malaysian Navy Match Racing Team 3 mengejutkan beberapa pelayar lain apabila mencatatkan rekod 4-2.

Perebutan satu lagi slot ke separuh akhir ditentukan di antara juara Malaysian Match Racing Championship (MMRC) 2008 Nurul Ain Muhammad Isa dan ‘skipper’ Royal Malaysian Match Racing Team 1, Masyuri Rahmat.

Di akhir perlawanan, Masyuri berjaya menewaskan Nurul Ain dan mengesahkan tempatnya di kalangan empat ‘skipper’ terbaik siri pertama ini.

Dalam undian separuh akhir, Koo memilih untuk berdepan dengan Harisfabillah sementara Hazwan bertemu dengan Masyuri.

Koo dan Masyuri berjaya menamatkan hari kedua dengan kemenangan. Apabila hari ketiga bermula para pelayar yang bertanding memberikan persembahan terbaik masing-masing menyaksikan Harisfabillah menyaingi Koo sehingga memaksa perlawanan kelima di adakan.

Akhirnya pengalaman memihak kepada Koo menyaksikan beliau berjaya menewaskan Harisfabillah untuk melayakkan diri ke final. Dalam satu lagi pertemuan separuh akhir Masyuri kelihatan seperti akan layak ke final apabila mendahului Hazwan 2-0 pada satu ketika.

Namun Hazwan kembali bangkit untuk memenangi tiga perlawanan seterusnya dan menempah tiket ke final untuk bertemu dengan Koo.

Disebabkan kesuntukan masa, jawatankuasa perlumbaan memutuskan untuk mengadakan hanya satu perlawanan sahaja untuk final dan juga final ‘petit’.

Dalam final ‘petit’ Masyuri membalas dendam terhadap kekalahannya di tangan Harisfabillah sewaktu pusingan kelayakan. Kemenangannya itu menyaksikan dia berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000.

Final Siri Pertama MMRC 2012 menyaksikan Koo berjaya memaksa Hazwan melakukan kesalahan dalam pra-permulaan. ‘Skipper’ Permai Hotel Sailing Team itu berjaya mendahului Koo hampir sepanjang perlawanan namun beliau dipintas ketika melakukan penalti.

Persaingan sengit di antara keduanya berlaku menuju ke garisan penamat namun semuanya berakhir buat Hazwan apabila Koo berjaya memaksa dia untuk melakukan satu lagi kesalahan dan memaksa dia melakukan satu lagi penalti.

Koo memenangi wang tunai sebanyak RM8,000 sebagai johan sementara Hazwan menerima RM5,000.

Hadiah-hadiah serta trofi kejohanan disampaikan oleh Menteri Pengangkutan, YB Dato’ Seri Kong Cho Ha.

Siri kedua Sirkit MMRC 2012 yang menerima pengiktirafan dari Persekutuan Pelayaran Antarabangsa (ISAF), Alpari World Match Racing Tour dan Malaysian Yacting Association akan berlangsung di Pulau Indah, Selangor dari 29 Jun hingga 1 Julai ini sebelum berakhir dengan siri ketiga di Pulau Duyong, Terengganu dalam bulan September.

Kedudukan selepas Siri Pertama
1. Jeremy Koo (Koo Racing Team) 25 mata
2. Hazwan Hazim Dermawan (Permai Hotel Match Racing Team) 22 mata
3. Masyuri Rahmat (RMN Match Racing Team 1) 19 mata
4. Harisfabillah Muhammad (RMN Match Racing Team 2) 16 mata
5. Nurul Ain Muhamad Isa (Ri-Yaz Heritage Sailing Team) 14 mata
6. Nik Ashraf Thaqid (RMN Match Racing Team 3) 12 mata
7. Rizal Mahadi (SetiaWest Marine) 10 mata