Kapten pasukan Juara Liga Perdana Inggeris musim ini,  Manchester City, Vincent Kompany memilih Sepanyol sebagai juara EURO 2012.

Sepanyol memiliki kemantapan di setiap posisi dan berdasarkan prestasi semasa pasukan La Furia Roja dijangka tidak sukar untuk mempertahankan piala tersebut.

England dan Belanda pula saya pilih sebagai pasukan yang boleh mencabar kemampuan Sepanyol,” komen Kompany, pemain kebangsaan Belgium ketika ditanya wartawan di majlis perlancaran jualan tiket Jelajah Manchester City 2012 di Wisma FAM, petang tadi.

Manchester City dijadualkan berkunjung ke Malaysia untuk menentang skuad Malaysia XI pada 30 Julai nanti. Promoter perlawanan, ProEvents Sdn Bhd turut mengumumkan pada majlis sama bahawa tiada kenaikan harga tiket untuk perlawanan itu nanti.

“Harga tiket tidak berubah sejak sedekad lepas dan dengan tiket berharga serendah RM58 diharapkan lebih ramai peminat dapat menyaksikan perlawanan hebat ini,” kata Julian Kam, Ketua Pegawai Eksekutif, ProEvents Group.

Tiket perlawanan berharga RM58, RM68, RM108 dan RM388 (VIP terhad) akan mula dijual pada Khamis, 7 Jun 2012 di kesemua cawangan Ticketpro, hotline Ticketpro dan laman web www.ticketpro.com.my