Connect with:




Meraikan gol adalah salah satu nikmat sebagai pemain bolasepak apatah lagi jika anda sendiri yang menghasilkan jaringan tersebut.

Ada pemain mempunyai gaya tersendiri dalam meraikan gol seperti Dele Alli, Cristiano Ronaldo, Robbie Keane, Antoine Griezmann dan ramai lagi.

Namun, apabila gaya meraikan gol melibatkan ‘dendam’, ia pastinya lebih panas dan mengundang amarah pemain lawan.

Seperti yang serba maklum, gaya DX Celebration dari dua pemain Perak, Leandro Dos Santos dan Wander Luiz ke atas pertahanan Terengganu, Igor Zonjic pada final Piala Malaysia yang lalu masih lagi hangat diperkatakan.

Ada yang berpendapat kedua pemain Perak itu harus didenda. Ada juga merasakan insiden ini tak perlu diperbesarkan kerana ia sebahagian dari bolasepak.

Bolasepak Eropah telah menyaksikan beberapa insiden seperti ini turut berlaku. Jangan masukkan gaya Emmanuel Adebayor yang berlari ke arah penyokong Arsenal ketik beraksi untuk Man City kerana ia melibatkan pemain-penyokong.

Provokasi yang dimaksudkan di sini hanya melibatkan antara pemain. Contoh pertama adalah apa yang berlaku pada Layvin Kurzawa. Dalam aksi kelayakan Kejuaraan Bawah 21 Eropah, Perancis ketinggalan 3-0 pada babak pertama menentang Sweden. Agregate ketika itu berpihak kepada Sweden (3-2) selepas Perancis menang perlawanan pertama dengan jaringan 2-0.

Kurzawa kemudiannya menjaringkan gol buat Perancis sekaligus memberi kelebihan jaringan di tempat lawan buat pasukannya. Bagi meraikan gol tersebut, Kurzawa membuat ‘tabik’ kepada pemain Sweden, ibarat ‘menganjing’ pasukan lawan.

Bagaimanapun, Sweden berjaya menjaringkan gol keempat dan seperti dijangka, diketuai pemain ‘gila’ seperti John Guidetti, Kurzawa menerima balasan akibat provokasinya. Malah, ia tidak terhenti sehingga itu. Sweden layak ke peringkat akhir dan kemudiannya muncul juara. Apa yang mereka lakukan semasa menjulang trofi – sudah tentu ‘tabik’ untuk Kurzawa.

Insiden ‘In Your Face’ dari lagenda Belanda, Van Nistelroy terhadap pertahanan Andorra, Antoni Lima juga antara ‘revenge celebration’ yang menarik.

Tidak dilupakan, perseteruan Lukas Podolski yang mengejek Nuri Sahin selepas Jerman membelasah Turki seminggu sebelum Cologne bertemu Dortmund. Sahin berjaya membalas ejekan tersebut dengan lebih bergaya.

Balik semula kepada bolasepak tempatan. Siapa masih ingat insiden yang berlaku ketika perlawanan JDT menentang Pulau Pinang dua tahun lalu?

GELAGAT LIGA SUPER MALAYSIA..aksi telatah azamudin akil(JDT)yang sangat nakal bergurau bersama lobo(PULAU PINANG) setelah JDT mendapat jaringan disaat akhir Aksi malam tadi…..Like&shareKredit:ramdzan dato' noor

Posted by Liga Super Malaysia on Jumaat, 6 Mei 2016

Azamuddin Akil menjadi mangsa kecaman peminat bola sepak gara-gara tindakannya mengejek pertahanan import Pulau Pinang, Reinaldo Lobo dalam satu perlawanan Liga Super.

Azamuddin yang berang dengan tindakan Lobo yang dianggap berpura-pura cedera melakukan provokasi terhadap pemain dari Brazil itu ketika berada di tepi padang dengan membuat pelbagai mimik muka serta gaya.

Bagaimanapun, isu tersebut isu tersebut diselesaikan dengan segera selepas Azamuddin meminta maaf kepada Lobo sejurus tamat permainan.

Pada pendapat anda, adakah gaya provokasi sebegini adalah keterlaluan atau pun sebenarnya ia hanyalah sekadar meraikan perasaan gembira sahaja? Kongsikan dengan kami.