Connect with:




Bagi meneruskan pemburuan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, Jurgen Klopp mengharapkan ehsan Chelsea untuk memperlahankan rentak pendahulu liga, Machester City apabila kedua-dua pasukan bakal bertemu hujung minggu ini.

Liverpool yang dijadual menentang Napoli bagi aksi Liga Juara-Juara minggu depan kini berada di kedudukan kedua liga dengan perbezaan dua mata dibelakang City.

Jaringan ‘pelik’ Divock Origi di masa tambahan ketika bertemu Everton dan aksi bangkit dari ketinggalan satu gol ketika menundukkan Burnley semalam memastikan The Reds kini mengekalkan rekod tanpa kalah.

“Saya harap Chelsea menumbangkan City kerana kami turut bakal menumpang nikmatnya nanti,” ujar Klopp sambil berseloroh.

Namun begitu, tumpuan pastinya tertumpu di Old Trafford apabila Manchester United dijadualkan melayan kunjungan pasukan tercorot, Fulham.

Penghuni tangga ketiga liga setakat ini, Tottenham yang belum merekodkan sebarang keputusan seri dalam musim liga bakal bertandang ke Leicester sementara Arsenal akan bertemu Huddersfield.

Pertahanan Chelsea, Marcos Alonso mengakui mereka perlu menang andai mahu meneruskan perebutan kejuaraan.

“Sekiranya kami tewas, kami akan ketinggalan 13 mata di belakang pendahulu dan ia satu jurang yang sangat besar.

“Tapi kami perlu bersedia bagi menghadapi perlawanan dan tidak terlalu memikirkan kedudukan ketika ini. Saya yakin ia peluang buat kami bangkit mengejar kejuaraan,” jelasnya.

Sementara itu di Old Trafford pula, Jose Mourinho kian terdesak bagi mencari solusi terbaik tetapi ianya berkisar tentang pertukaran pemain.

Sepanjang saingan Liga Perdana  musim ini, United telah melakukan 46 pertukaran terhadap kesebelasan utama mereka termasuk tujuh pertukaran dilakukan ketika bertemu Arsenal, Rabu lalu dan menjadikan mereka pasukan paling banyak melakukan perubahan taktikal dalam kejohanan tersebut.

Rio Ferdinand yang juga bekas pertahanan United mengakui sedar dengan apa yang dilakukan Red Devils ketika ini.

“Sesuatu harus dilakukan dan perkara utama yang kita sudah lihat daripada pasukan di bawah kendalian Mourinho ini adalah perubahan pada setiap minggu, ubah, ubah dan ubah lagi.

“Bagi saya ia sesuatu yang tidak baik daripada sudut pemain dan juga pasukan kerana kamu perlu membina hubungan di dalam pasukan dan kamu tidak boleh melakukannya apabila terdapat pertukaran dari minggu ke minggu,” ujar Ferdinand.

 

Foto : AFP