Connect with:




Aksi tumpuan Liverpool dalam Liga Perdana Inggeris menentang Manchester City berakhir dengan kehampaan selepas City berjaya meleburkan rekod tanpa kalah milik mereka awal pagi tadi.

Kekalahan 1-2 di Etihad bagaimanapun menyaksikan pengurus Liverpool, Klopp meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Vincent Kompany yang sepatutnya dibuang padang kerana terjahan kasar yang dilakukan ke atas Mohamed Salah.

Dia menyifatkan tindakan pengadil yang tidak menghukum Kompany itu meruapakan salah satu punca City menggondol mata penuh hasil jaringan lewat Leroy Sane, selepas Roberto Firmino menyamakan jaringan awal Sergio Aguero.

Baginya, layangan kad kuning daripada pengadil, Anthony Taylor tidak wajar dengan aksi terjahan dua kaki terhadap penyerang Mesir itu pada babak pertama.

Biarpun Salah masih dapat bermain selepas itu, tetapi Klopp menegaskan ia cuma nasib kerana terjahan berkenaan boleh merencatkan aksi  tonggak Liverpool itu.

“Saya sukakan Vincent Kompany, namun macam mana ia terlepas dari kad merah? Dia pemain terakhir dan dia melakukannya (terjahan),” kata Klopp.

“Jika terjahan (ke atas) Mo itu lebih kuat, dia akan terkeluar sepanjang musim.”

Kompany bagaimanapun tidak bersetuju dengan dakwaan Klopp dan menjelaskan ia hanyalah terjahan bersih yang dilakukannya.

“Saya rasa ia cabaran yang hebat, benarkah? Saya mendapat bola, sedikit terkena pemain, tetapi ia bukan kasar,” kata Kompany, yang meminta Salah bangun selepas kejadian itu.

Dalam perkembangan lain, Klopp mengatakan kelebihan empat mata ke atas juara bertahan dalam baki 17 perlawanan merupakan kedudukan yang kuat buat pasukannya untuk memburu gelaran liga pertama sejak 1990.

“Kami mahu menamatkan musim ini secepat  mungkin dan kami masih dalam kedudukan yang cukup baik.

“Saya sudah berkata kepada anak-anak buah saya bahawa ianya OK, kami kehilangan mata tetapi ia tidak mengapa. Malam ini bukanlah malam yang baik tetapi bukan masalah terbesar.”

City kini merapatkan jurang perbezaan mata kepada empat mata dibelakang Liverpool (54 mata) – selepas dilanda tiga kekalahan musim ini.

Foto: Yahoo News