Connect with:




Semalam telah berlangsungnya Majlis Perasmian Kuala Lumpur International Motor Show 2018 (KLIMS2018) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) yang bermula pada 23 November hingga 2 Disember 2018.

Terdapat pelbagai pameran kenderaan serta alat ganti yang dipamerkan sepanjang 10 hari berlangsungnya KLIMS 2018. Antara syarikat permotoran yang membuat pameran adalah Daihatsu, Ford, Honda, Hyundai, Infiniti, Isuzu, Kawasaki, Kia, Lexus, Mitsubishi, Nissan, Peugeot, Perodua, Proton, Toyota, UD, V-Kool, 3M dan banyak lagi.

KLIMS edisi ke-9 ini dianggap sebagai satu permulaan era baru buat pameran ini yang julung kalinya diadakan di MITEC yang merupakan dewan pameran terbaru, besar serta moden yang ada di Malaysia.

Bagi peminat sukan permotoran dan automotif anda perlu hadir sendiri ke MITEC untuk merasai pengalaman menarik sepanjang berada di pertunjukkan permotoran dan automotif terbesar di negara ini.

Orang ramai yang ingin hadir ke KLIMS 2018 bolehlah mendapatkan tiket di kaunter tiket bersebelahan pintu masuk dewan utama di aras 1. Selepas membeli tiket pastikan anda mendapatkan borang untuk menyertai ‘Lucky Draw’ yang dianjurkan KLIMS. Harga tiket adalah RM25.00 buat dewasa dan RM5.00 untuk kanak-kanak.

Rugi jika tidak menyertai kerana untuk cabutan bertuah ini sebanyak tiga biji kereta bakal diberikan kepada pemenang bertuah. Perodua Myvi, Honda City dan Toyota C-HR menanti mereka yang menyertai cabutan bertuah.

Selain itu, anda turut berpeluang menyertai pertandingan ‘Photo Contest’ di mana ianya terbahagi kepada tiga kategori. Kategori pertama adalah ‘Photo Of The Day’, kategori kedua ‘Fun Moment dan kategori ketiga ‘Creative Composition’. Bagi menyertai pertandingan ini anda hanya perlu memuat naik gambar di laman Facebook dan sertakan ‘hashtag’ mengikut kategori yang anda ingin sertai.

Orang ramai yang hadir juga berpeluang melihat sendiri beberapa model kereta baru yang dilancarkan syarikat pengeluaran kereta bersempena dengan KLIMS 2018. Antara syarikat pengeluaran kereta yang melancarkan kereta baru mereka adalah Proton, Toyota, Mitsubishi, Honda dan beberapa lagi. Lebih menarik kerana kereta baru yang dipamerkan di MITEC adalah buat julung kalinya dipersembahkan kepada orang ramai.

Selain pelancaran kereta baru, orang ramai turut berpeluang melihat pelbagai jenis kereta konsep di pamerkan beberapa syarikat pengeluaran kereta seperti Lexus, Toyota dan Perodua.

KLIMS 2018 turut diserikan dengan kehadiran artis-artis terkemuka tanah air yang meluangkan masa bersama orang ramai di MITEC nanti dan antara artis yang datang adalah Sazzy Falak, Alif Sattar dan Elizabeth Tan.

Bukan itu saja, di KLIMS 2018 juga anda berpeluang untuk melihat sendiri kereta-kereta klasik yang dipamerkan di zon ‘Down Memory Lane’  sepanjang berlangsungnya pameran itu dan berhadapan dengan pameran kereta klasik pula anda dapat melihat pelbagai jenis kereta mewah seperti Lamborghini, Bentley dan pelbagai lagi.

Sementara itu buat peminat motor pula, anda perlu hadir dan berkunjung sendiri ke ‘Bike Circus’ bagi menyaksikan sendiri beberapa jenis motorsikal yang tiada di atas jalan raya. Benelli dan Honda Boon Siew turut mengambil bahagian untuk mempersembahkan jentera terbaik mereka di pameran ini.

KLIMS 2018 di lihat menyambut baik seruan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menjadikan Malaysia sebagai hab e-Sports terkemuka Asia Tenggara apabila pihak KLIMS turut menyertakan ruang buat penggemar e-Sports untuk mencuba permainan VR yang disediakan.

Satu kerugian buat peminat sukan permotoran dan automotif jika tidak hadir ke KLIMS 2018 kerana banyak yang dijanjikan di sini. Selain berpeluang melihat pelbagai jenis motor dan kereta yang jarang dilihat atas jalan raya orang ramai berpeluang untuk pandu uji kenderaan yang ada di MITEC.

Dan yang paling menarik, jika anda melakukan tempahan kenderaan sepanjang berlangsungnya KLIMS 2018, anda bakal menerima pelbagai tawaran menarik serta pakej yang amat menguntungkan.

 

Klik https://airasiaredtix.com/klims2018 untuk maklumat mengenai tiket.

 

Foto : Facebook KLIMS 2018