Connect with:




Menara Kuala Lumpur adalah menara yang diiktiraf sebagai menara telekomunikasi tertinggi di Asia Tenggara telah berkolaborasi dengan Turkish Airlines bagi menganjurkan Turkish Airlines KL Tower International Towerthon Challenge 2019 pada 21 April 2019, bermula seawal lima pagi.

Acara tahunan sukan ekstrem dan berprestij ini diadakan untuk memberi peluang kepada peserta menguji ketahanan fizikal dan mental di samping mencabar diri mereka untuk menawan puncak Menara Kuala Lumpur.

Acara sukan lasak ini juga bertepatan dengan aspirasi Menara Kuala Lumpur sebagai destinasi wajib dilawati bagi aktiviti kebudayaan, lasak dan alam semula jadi.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd., Datuk Rozlan Mohamed, kita ada kelainan untuk acara pada tahun ini. Acara akan bermula di kawasan parkir bas yang berjarak sekitar 200 meter dari lobi iaitu lebih dekat dari sebelumnya.

“Tempat permulaan didekatkan bagi memberi para peserta lebih fokus dengan cabaran memanjat tangga. Para peserta akan menggunakan banyak tenaga untuk memanjat 2058 anak tangga sehingga ke aras 288 meter di TH03”, kata Rozlan.

Rozlan juga turut menambah peserta boleh melakukan latihan bermula 11 April.

Enam kategori dipertandingkan

Tahun ini penyertaan diterhadkan kepada 4000 peserta sahaja dan terbuka kepada warganegara Malaysia dan peserta luar negara. Enam kategori bakal dipertandingkan iaitu Lelaki Terbuka (18 hingga 40 tahun), Lelaki Veteran (41 tahun ke atas), Wanita Terbuka (18 hingga 40 tahun), Wanita Veteran (41 tahun ke atas), Lelaki Junior (13 hingga 17 tahun) dan Perempuan Junior (13 hingga 17 tahun).

Yuran penyertaan bagi peserta dewasa ialah RM90, pelajar RM50 dan luar negara Rm130. Para peserta berpeluang merebut hadiah wang tunai keseluruhan yang bernilai RM44,600.00. Bukan itu sahaja, peserta yang merekod masa terbaik bagi individu lelaki dan wanita Malaysia juga akan memenangi wang tunai tambahan bernilai RM2000 setiap seorang. Seratus peserta yang merekodkan masa terbaik akan memenangi t-shirt Finisher istimewa.

Turkish Airlines rakan acara utama

Menurut Pengurus Turkish Airlines Inc. Malaysia, Muhammed Hamza Arsian, kami bangga dan menyokong acara ini dan mengambil peluang untuk menjadikan acara ini lebih menarik kepada semua.

“Saya mengalu-alukan semua pelanggan dan penumpang Turkish Airlines untuk merasai layanan dan perkhidmatan kami yang pasti tidak dapat dilupakan.

“Jangan lupa mendaftar dan menjadi peserta kerana anda mungkin berpeluang untuk memenangi hadiah cabutan bertuah iaitu dua tiket penerbangan pergi dan balik ke Istanbul untuk dua orang”, kata Hamza.

Acara Turkish Airlines KL Tower International Towerthon Challenge 2019 telah disokong oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Tourism Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).