Connect with:




Ketika banyak acara sukan terpaksa dibatalkan serta ditangguh ekoran penularan wabak Covid-19, acara larian popular KL Tower International Towerthon Challenge di Menara Kuala Lumpur akan tetap diteruskan pada 5 April ini.

Penganjuran edisi ke-19 di menara telekomunikasi tertinggi di Asia Tenggara ini membawa tema ‘Challenge YOUR Limit’ pada tahun ini bagi memberi peluang kepada para peserta untuk menguji daya ketahanan fizikal dan mental.

Bagaimanapun timbul kebimbangan mengenai acara ini di dalam kekalutan dunia selepas kes Covid-19 semakin meningkat di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Menara KL, Datuk Rozlan Mohamed, penganjur telah bersedia dalam memastikan keselamatan semua peserta termasuk bekerjasama dengan pihak-pihak berkaitan.

“Saya rasa tidak ada keperluan untuk acara ini ditunda kerana mereka yang menyertai adalah yang benar-benar sihat dan cergas” kata Rozlan dalam majlis pelancaran KL Tower International Towerthon di Menara KL pada Khamis.

Tahun ini, para peserta akan dilepaskan seorang demi seorang, mendaki anak tangga sehingga ke Dewan Bankuet yang terletak 288 meter dari aras bumi.

Sebanyak 6 kategori dipertandingkan iaitu lelaki terbuka (bawah 40 tahun), lelaki veteran (atas 40 tahun), wanita terbuka (bawah 40 tahun), wanita veteran (atas 40 tahun), remaja lelaki dan remaja perempuan.

Para peserta berpeluang memenangi hadiah wang tunai keseluruhan bernilai RM 44600 selain peluang bertanding di luar negara bagi acara World Tower Running Championship 2021 yang akan ditanggung sepenuhnya kos oleh Menara Kuala Lumpur.

Mereka yang berminat untuk sertai acara ini boleh mendaftar di laman sesawang https://www.jomrun.com/event/KL-Tower-International-Towerthon-Challenge-2020.