Connect with:




Selepas isu Syazwan Andik yang berhijrah ke JDT masih belum reda, sekarang timbul pula ‘musibah’ baru Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur yang bakal menghadapi musibah pemotongan geran tahunan oleh pengendali Liga Bolasepak Malaysia (MFL) akibat krisis tunggakan gaji yang melanda persatuan berkenaan.

Bukan itu sahaja, KLFA juga turut berdepan dengan kemelut dalam pengurusan pasukan dimana sehingga kini kongres tahunan persatuan itu masih belum berjalan.

Hal itu disahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam yang menegaskan sekatan terhadap pemberian geran tahunan kepada KLFA itu dibuat berdasarkan peruntukan sedia ada.

Jelasnya lagi, badan pengelola liga Malaysia  sentiasa konsisten dalam membuat keputusan sepanjang dua tahun dengan mengenakan hukuman kepada pasukan melanggar peraturan dengan mengenakan denda pemotongan mata.

“MFL berhak untuk menyekat pemberian geran tahunan kepada KLFA selaku pasukan Liga Super sebagai cagaran untuk mereka melangsaikan segala hutang tertunggak.

“Pihak KLFA perlu membuktikan bahawa semua bayaran sudah dibuat dan mematuhi dokumen diperlukan dalam pendaftaran liga bagi membuktikan bahawa KLFA mempunyai kewangan yang baik dan perancangan untuk kekal bersaing dalam kempen 2019 dengan jayanya.

“MFL akan meminta penjelasan terperinci daripada KLFA dengan segera untuk dibawa kepada Ahli Lembaga Pengarah MFL,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Sebelum ini, bekas tonggak pertahanan KLFA, Syazwan Andik juga menghadapi tunggakan gaji selama dua bulan (November dan Disember) sehingga memaksanya menamatkan kontrak bersama Kuala Lumpur dan menyertai sebuah kelab ternama, Johor Darul Ta’zim.

Selain KLFA, sekatan geran tahunan telah dikenakan kepada skuad Singa Utara sebagai pendatang baharu Liga Perdana bagi musim 2019 secara bersyarat.

Pada masa yang sama, Persatuan Bolasepak Perlis juga dihalang daripada mendapatkan geran selagi pihak mereka tidak melunaskan tunggakan gaji dalam tempoh 60 hari daripada tarikh yang sudah ditetapkan.

Foto: Malaysia Gazette