Connect with:




Juara dunia Formula Satu 2007, Kimi Raikkonen mengesahkan akan meninggalkan Ferrari pada penghujung musim bagi pertukaran dengan pelumba Sauber, Charles Leclerc.

Difahamkan ‘rookie’ Leclerc, pelumba yang berusia 20 tahun itu membuat debutnya dengan Sauber musim ini selepas memenangi gelaran Formula Dua pada tahun lalu.

“Scuderia Ferrari mengumumkan bahawa pada akhir musim 2018, Kimi Raikkonen akan beralih arah dari peranannya sekarang,” kata Ferrari dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu turut memberitahu Ferrari juga mengesahkan ketibaan Leclerc ke dalam pasukan mereka.

“Sebagai juara dunia untuk Scuderia Ferrari, dia akan sentiasa menjadi sebahagian daripada sejarah dan keluarga buat pasukan. Kami berterima kasih kepada Kimi atas segala jasa dan khidmatnya serta berharap dia dan keluarganya lebih berjaya di masa hadapan.”

Dalam pada itu, Raikkonen memuat naik  kenyataannya di Instagram mengumumkan bahawa dia akan berkhidmat semula dalam pasukan lamanya, Sauber dengan kontrak perjanjian selama dua tahun.

“Teka siapa yang akan kembali?! Dua tahun bersama dengan  sauberf1team pada musim hadapan! Saya berasa bangga dapat kembali ke pasukan yang menyaksikan karier saya bermula!”

Perkara itu kemudian disahkan oleh Sauber dalam kenyataan berasingan.

“Menandatangani Kimi Raikkonen sebagai pemandu kami merupakan prospek utama kami, dan membawa kami lebih dekat dengan sasaran untuk memajukan pasukan dalam masa yang terdekat,” kata ketua pasukan, Frederic Vasseur.