Fakri Saarani Bakal Ikat Kontrak Bersama Kelab Divisyen Tiga Portugal

 

KUALA LUMPUR, 7 Nov – Jurulatih skuad Harimau Muda, Ong Kim Swee menganggap prestasi dan mutu pemainnya yang mula mendapat perhatian kelab Eropah sebagai tanda positif ke arah pembangunan bola sepak tanah air.  Beliau berkata kesemua pemainnya mempunyai kualiti permainan yang tersendiri untuk membarisi mana-mana kelab Eropah.

“Sekarang ini pemain muda negara mula berada dalam radar pencari bakat bagi pasukan Eropah dan ini merupakan perkembangan yang baik untuk pemain yang terpilih kerana mereka bakal mendapat pendedahan lebih meluas.

“Pemain muda ini amat kompetatif dan komited dengan mutu permainan yang mana sikap seperti ini amat disukai kelab Eropah selain pencapaian mereka merangkul pingat emas Sukan SEA 2011 dan Newspaper Cup di Vietnam baru-baru ini,” katanya kepada Bernama.

Bekas pemain Harimau Muda A, Ahmad Fakri Saarani dikhabarkan akan bermain di Liga Eropah. Beliau kini bermain untuk Felda United. Pemain kelahiran Kelantan yang berusia 23 tahun ini dilapor akan mengikat kontrak selama enam bulan bersama Kelab Divisyen Tiga Portugal, Atletico Sport Clube Reguengos, mengikuti jejak langkah Nazmi Faiz Mansor yang kini bermain bersama kelab remaja Beira Mar di negara yang sama.

Kim Swee berkata usaha meningkatkan mutu pemain muda negara perlu sentiasa diteruskan dengan bukan hanya tertumpu kepada skuad Harimau Muda tetapi juga Harimau Muda B.

“Kita perlu lebih memberi pendedahan kepada pemain muda yang kita ada hari ini dengan memperbanyakkan lagi perlawanan di peringkat antarabangsa dan kita juga wajar melibatkan pemain dari Skuad Harimau Muda B kerana mereka ini sudah pasti satu hari nanti akan bermain mewakili negara,” katanya.

Kecederaan Fandi Tidak Serius

 

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kecederaan lutut yang dialami pemain pertahanan Harimau Muda, Mohamad Fandi Othman adalah tidak serius.  “Saya dimaklumkan Fandi menjalani pembedahan ‘athroscopic chondroplasty’ pada lutut kiri kira-kira 2 petang tadi dan akan mengambil masa kira-kira dua hingga tiga bulan untuk pulih.

“Bagi saya walaupun beliau cedera sekarang, ia bukan satu masalah kerana lebih elok cedera sekarang sebelum kita mula bermain dalam perlawan yang kompetatif,” kata Kim Swee.  — BERNAMA