Setelah melalui tujuh perlawanan tanpa kalah, Kelantan akhirnya kecundang dan akur dengan kekalahan pertama mereka dalam aksi Liga Super semalam. Namun, Perak gagal memintas kedudukan teratas liga apabila turut tumbang di laman sendiri dan kini mengumpul 15 mata, dua mata di belakang Kelantan.

Red Warrior turun dengan rekod tanpa kalah ke Stadium Nasional Bukit Jalil memasang impian untuk menundukkan Selangor. Walaupun saling mengasak ke kubu lawan masing-masing, kedua-dua pasukan buntu mencari gol di babak pertama. Kelantan dilihat lebih gemar menggunakan kedua-dua sayap mereka, manakala Selangor pula kerap memulakan gerakan dari kawasan tengah padang untuk melakukan serangan.

Kesilapan mudah pertahanan import, Obinna yang gagal menampan kemas bola menyebabkan kubu pasukannya, Kelantan, dirobek tuan rumah seminit babak kedua bermula. Walaupun kesilapannya itu diselamatkan S. Subramaniam yang menolak bola keluar dari kawasan gol, namun, muncul Safiq Rahim yang terus melepaskan rembatan padu dari luar kotak penalti menerjah penjuru kiri gol untuk Selangor mendahului perlawanan.

Safiq Rahim sekali lagi mencuri tumpuan apabila mengumpan bola melepasi benteng lawan kepada penyerang import baru mereka, Bosko Balaban yang berlari mengejar seterusnya melepaskan rembatan leret menewaskan Khairul Fahmi pada minit ke-76.

Kelantan cuba bangkit dengan menambah asakan ke kubu lawan, namun kekentalan pertahanan Selangor yang diketuai Ramez Dayoub dan Nasriq Baharom berjaya menafikan gerakan-gerakan yang dihasilkan pelawat menerusi Norshahrul Idlan Talaha dan Indra Putra.

Gol saguhati pelawat diperolehi menerusi pemain pertahanan, S. Subramaniam pada minit ke-90. Kemenangan ini membolehkan Red Giant bangkit dari kekalahan mengejut Sabtu lalu.

Di Stadium Perak, Ipoh, Perak kecundang buat kali pertama di laman sendiri apabila tunduk 1-2 kepada Lions XII. Shahril Ishak menjadi watak penting buat pelawat hasil dua jaringannya pada minit ke-34 dan 75. Gol tuan rumah diperolehi menerusi pemain tengah, Michal Kubala pada minit ke-55.

Terengganu terus hilang rentak apabila sekadar seri 1-1 ketika melayan kunjungan Kedah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu. Ashaari Shamsuddin menjaringkan gol buat tuan rumah pada minit ke-44 sebelum Khyril Muhymeen menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke-72 untuk kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.

Sementara itu, Sabah menang selesa 2-0 ke atas pasukan tercorot, Kuala Lumpur di Stadium Likas, Kota Kinabalu. Dua gol tuan rumah dijaringkan oleh Rozaimi Abdul Rahman pada minit ke-36 dan Michael Baird sepuluh minit kemudian, memberikan tiga mata berharga buat mereka yang masih tercari-cari kemenangan dalam lima aksi sebelum ini.

PKNS FC terikat 1-1 dengan tuan rumah, Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. PKNS terlebih dahulu memperolehi gol menerusi penalti Paulo Sergio minit ke-44 sebelum sepakan percuma Jean-Emmanuel Effa Owona seminit kemudian mengikat kedudukan dengan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata.

Di Stadium Hang Jebat, Melaka, Felda United tumbang 0-3 kepada T-Team menerusi dua jaringan Muhd Faiz Subri minit ke-33 dan 71 serta Zairo Anuar Zalani minit ke-85. T-Team memperolehi kemenangan keempat mereka, manakala ini adalah kekalahan kelima buat Felda United disamping meneruskan aksi hambar mereka dalam lima aksi terkini.

Cemerlang di laman lawan dan masih gagal beraksi baik di laman sendiri menyaksikan Johor FC tumbang 1-2 kepada Sarawak di Stadium Jcorp, Pasir Gudang. Mendahului aksi menerusi jaringan Arthuro Henrique minit ke-21, tuan rumah akhirnya tumbang hasil dua gol pelawat menerusi Guy Bwele (35’) dan Azizan Baba (74’).