Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) hari ini memutuskan untuk menghantar pemain tengah negara, Mohd Fitri Saari pulang ke Malaysia pada malam ini selepas menerima perkhabaran anaknya, Muhammad Adam Zafran yang berada di hospital kini di dalam keadaan kritikal.

Keputusan untuk menghantar Fitri pulang ke tanah air telah disahkan oleh Pengurus Pasukan Kebangsaan, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim. Jelas Nasihin selepas menerima perkhabaran tersebut, Fitri menyuarakan hasrat untuk pulang ke Malaysia bagi melihat sendiri keadaan anaknya serta bersama keluarganya untuk melalui dekit sukar itu.

“Kami membuat keputusan untuk menerbangkan Fitri pulang ke Malaysia pada malam ini. Selepas menerima berita kurang menyenangkan iaitu mengenai keadaan anak Fitri yang kritikal di hospital dia memohon untuk pulang ke tanah air untuk melihat sendiri keadaan anaknya itu dan berada bersama keluarganya.

“Dengan situasi ini, kami merasakan keutamaan Fitri adalah berada di samping isteri serta keluarganya di Kuala Lumpur. Ini juga bermaksud Fitri akan terlepas perlawanan menentang Oman yang akan berlangsung esok,” jelas Nasihin ketika dihubungi.

Dalam pada itu Nasihin juga menjelaskan bahawa keputusan sama ada Fitri perlu kembali ke Dhaka semula atau tidak bergantung kepada keadaan anaknya dan kem negara perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan sama ada Fitri kembali ke pasukan atau tidak.

“Kami terbangkan Fitiri balik malam ini dan sekiranya keadaan anaknya beransur pulih serta menunjukkan tanda-tanda positif, kemungkinan Fitri akan kembali semula ke Dhaka pada 17 Oktober untuk membantu pasukan dalam pusingan Super 4.

“Bagaimanapun kami kem Malaysia perlu bersedia untuk kehilangan khidmat Fitri sehingga tamat kejohanan sekiranya keadaan anaknya masih dalam kritikal dan kami perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan,” ujarnya.

Pihak KHM mendoakan semoga Adam Zafran akan sembuh dengan cepat dan Fitri, isteri serta keluarga tabah untuk melalui dugaan yang diterima mereka itu. Fitri akan terbang ke Malaysia jam 1.00 pagi ini waktu Malaysia dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), jam 4.50 pagi.

KREDIT FOTO – Steve Bardens (Getty Image)