Connect with:




Kejohanan hoki TNB-KHM Bawah-14 Tahun Kebangsaan Lelaki dan Perempuan 2019 secara rasminya akan membuka tirai esok, 6 Disember hingga 14 Disember 2019 dengan 14 pasukan bagi kategori lelaki dan perempuan akan bersaing untuk merebut gelaran juara musim 2019 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Tahun lalu, Perak muncul juara bagi kategori lelaki untuk dua musim berturut-turut selepas menewaskan Johor 4-1 manakala bagi saingan kategori perempuan pula, kejayaan Kuala Lumpur menewaskan Melaka 2-0 mengangkat mereka selaku juara.

Untuk musim ini, juara kategori lelaki, Perak diletakkan dalam Kumpulan A bersama Melaka, Pulau Pinang, Kedah dan Sarawak sementara finalist tahun lalu, Johor berada dalam Kumpulan B bersama Selangor, Negeri Sembilan, Singapura dan Kelantan manakala Kumpulan C dihuni oleh Kuala Lumpur, Pahang, Terengganu dan Perlis.

Bagi kategori Perempuan pula, juara bertahan Kuala Lumpur akan menerima cabaran awal daripada Pahang, Sabah, Kelantan dan Singapura dalam Kumpulan A. Melaka selaku finalist tahun lalu pula menghuni Kumpulan B bersama Kedah, Negeri Sembilan, Johor dan Sarawak manakala Pulau Pinang, Terengganu, Selangor dan Perak pula berada dalam Kumpulan C.

Pengendali skuad lelaki Perak, Jegatheesan Selvaratnam tidak mahu meletakkan tekanan yang tinggi kepada barisan pemainnya yang rata-rata merupakan pemain baru walaupun misi mereka adalah untuk mengapai kejuaraan hatrik dan mahu memberikan tumpuan kepada satu perlawanan demi satu perlawanan.

“Turun selaku juara bertahan tekanan untuk pasukan kami tentunya ada tambahan kami muncul juara untuk dua tahun berturut-turut jadi kami meletakkan sasaran untuk muncul juara sekali lagi tahun ini bagi mencapai kejuaraan hatrik.
“Pasukan tahun ini merupakan pasukan campuran daripada pemain tahun lalu dan muka-muka baru di mana kami memiliki tiga pemain daripada tahun lalu dan selebihnya adalah pemain baru.

“Kami telah menjalani latihan bersama seminggu lebih, saya melihat moral pemain kini dalam keadaan terbaik serta mereka cukup bersemangat. Jadi saya tidak mahu meletakkan tekanan yang tinggi kepada pemain.

“Kami akan mengambil satu perlawanan demi satu perlawanan dan memberikan tumpuan kepada aksi peringkat kumpulan terlebih dahulu kemudian baru kami akan fikirkan perancangan seterusnya untuk kami cuba mengekalkan kejuaraan buat tahun ketiga berturut-turut,” jelasnya.

Dalam pada itu, jurulatih skuad perempuan Kuala Lumpur, Kannagi Arumugam turut meletakkan sasaran untuk melangkah ke pentas final sekali lagi pada tahun ini dan dengan kelibat lapan pemain daripada musim lalu, dia mempunyai kepercayaan tinggi bahawa pasukannya mampu untuk mengekalkan gelaran juara yang dimiliki.

“Persiapan pasukan berjalan baik dengan kami memiliki lapan pemain daripada tahun lepas yang akan terus bersama pasukan untuk musim ini di mana kami mengharapkan kelibat lapan pemain ini akan membantu kami untuk mengapai sasaran iaitu melangkah ke perlawanan akhir.

“Bagi aksi di peringkat kumpulan, saya boleh katakan kami berada dalam kumpulan yang kuat juga dan tentunya kami akan menerima tentangan yang cukup baik dari pasukan-pasukan tersebut.

“Namun saya melihat pencabar utama untuk kami dalam pasukan tentunya Sabah dan Pahang kerana saya juga mengetahui bahawa mereka telah melakukan persiapan yang cukup rapi untuk kejohanan musim ini.

“Saya berharap pemain akan memberikan aksi yang terbaik dan mencapai sasaran pertama iaitu melepasi peringkat kumpulan seterusnya melangkah ke perlawanan akhir dan sekaligus mengekalkan kejuaraan yang kami perolehi pada tahun lalu,” jelas Kannagi yang juga merupakan bekas pemain kebangsaan.