Connect with:




Walaupun Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) telah menolak rayuan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) untuk penggunaan teknologi rujukan video, ia tidak akan mengganggu tumpuan KHM untuk menganjurkan Kejohanan FIH Siri Akhir Lelaki dengan cemerlang bagi memastikan impian untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia Hoki 2020 tercapai.

Kejohanan FIH Siri Akhir Lelaki akan berlangsung pada 26 April sehingga 4 Mei di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil. Kejohanan itu bakal disertai lapan negara untuk merebut slot kelayakan ke Sukan Olimpik 2020.

Menurut Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal, walaupun menghadapi cabaran kewangan, pihaknya telah bersedia menganjurkan kejohanan itu. Dengan kos yang dianggar mencecah RM1 juta, beliau tetap yakin ia tidak menjadi masalah kerana mendapat sokongan daripada pelbagai agensi kerajaan seperti Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) yang dapat mengurangkan kos penganjuran.

KHM mahu membuktikan kepada FIH bahawa Malaysia mampu menganjurkan kejohanan peringkat antarabangsa dengan baik. KHM telah menghantar segala dokumen yang diperlukan dan Malaysia antara negara yang telah disenarai pendek FIH untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia Hoki 2020.

KHM juga berharap pelbagai aktiviti sampingan yang dianjurkan boleh meningkatkan kehadiran penyokong di stadium, sekaligus menjadi pembakar semangat kepada skuad The Malaysian Tigers untuk layak ke pentas Olimpik selepas 20 tahun, selepas kali terakhir beraksi di edisi Sydney pada 2000.

Malaysia diletakkan di Kumpulan B bersama-sama pasukan Brazil (27), China (14) dan Itali (32). Pencabar utama, Kanada yang menghuni ranking ke-10 dunia diletakkan dalam Kumpulan A bersama-sama Austria (19), Wales (24) dan Belarus (31).

Skuad Malaysia yang berada di bawah bimbingan Roelant Oltmans perlu menamatkan saingan pada kedudukan dua teratas pada Siri Akhir FIH untuk mara ke pusingan play-off, iaitu pusingan kelayakan terakhir Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Foto : BERNAMA