Bahang kemeriahan temasya Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9 (Kuala Lumpur 2017 – KL2017) terus dikongsi bersama orang ramai termasuklah para pelajar sekolah melalui program KL2017@Sekolah.
Bermula pada 2 Mac 2017 lalu di Sekolah Kebangsaan Toh Tan Dewa Sakti di Batang Padang, Perak, program ini meneruskan jelajahnya ke Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail 2 (SK TTDI 2) bersempena hari sukan sekolah tersebut yang berlangsung di Stadium MPSJ di USJ 6, Subang Jaya pada 16 April 2017.
Berlainan daripada kebiasannya, program di SK TTDI 2 hari ini menyaksikan YB Brig. Jen. Khairy hadir berpakaian maskot RIMAU untuk memberi kejutan kepada para pelajar di sekolah tersebut, khususnya anak beliau yang juga bersekolah di situ.
Berucap ketika merasmikan program KL2017@Sekolah di Menteri Belia dan Sukan, YB Brig. Jen. Khairy Jamaluddin mengajak para pelajar, guru dan ibu bapa untuk memberi sokongan kepada temasya KL2017 yang akan berlangsung pada Ogos dan September nanti.
“Saya mengambil peluang datang sebagai RIMAU, maskot KL2017 sebab kita hendak tiup semangat kesukanan dan perpaduan dalam kalangan pelajar SK TTDI 2,” kata beliau.
“Saya harap apa yang kita lihat pada pagi ini, kesungguhan, kegigihan, kekuatan, kepantasan dan disiplin ini akan diterjemahkan pada bulan Ogos dan September ini. Kita nak pastikan kita menjadi juara keseluruhan,” tambah beliau lagi.
 
YB Brig. Jen. Khairy di dalam ucapannya turut menekankan kepentingan untuk ibu bapa dan para guru memberikan sokongan terhadap para pelajar yang dilihat mempunyai potensi dan bakat yang boleh digilap pada masa hadapan agar dapat menjadi pelapis pada masa hadapan.
Inisiatif program KL2017@Sekolah adalah bertujuan untuk mempromosi dan memobilisasikan sokongan ke arah KL2017 serta memberi penghayatan Inisiatif Hijau yang juga selari dengan sasaran untuk menjadikan KL 2017 sebagai temasya sukan hijau.
Program KL2017@Sekolah ini juga menjadi satu suntikan semangat kepada para pelajar untuk memberikan persembahan yang terbaik untuk hari sukan sekolah masing-masing. Program ini membawa beberapa jenis aktiviti interaktif seperti Super Sepak (tewaskan penjaga gol), Cycle Power Challenge (kerjasama berkumpulan), Mini Golf (permainan golf mini), Field Sports Challenge (permainan trek) dan Basketball Shoot (balingan bola keranjang).
Program KL2017@Sekolah merupakan salah satu daripada pelbagai inisiatif Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) KL2017 untuk mempromosikan temasya sukan tersebut kepada seluruh rakyat Malaysia. Program ini dijadualkan berakhir pada bulan Mei di Terengganu.
KL2017 akan berlangsung pada 19 hingga 30 Ogos 2017 bagi temasya Sukan SEA dan 17 hingga 23 September 2017 bagi Sukan Para ASEAN.