Mohamad Danial Faudzi Leads the Windsurfing CategoryKetiadaan angin di hari kedua Regata Monsun KFC 2012 menyaksikan hanya satu perlumbaan sahaja melibatkan kelas Laser Radial dan Laser Standard dapat dilangsungkan di Muara Sungai Terengganu hari ini.

Dalam kelas Laser Radial, Muhammad Farhan Hamid dari Persatuan Perahu Layar Negeri Perak (PPLNP) mengambil alih tempat sebagai pendahulu selepas empat perlumbaan dari pelayar Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA), Nur Amirah Hadi yang menjadi pendahulu di hari pertama.

Dua orang pelayar tuan rumah, Tg Mohd Amirul Asraf Tg Othman dan Mohd Fathuddin Salleh (Persatuan Pelayaran Terengganu – TESA) masing-masing menduduki tempat ketiga dan keempat.

Sementara itu, pelayar Olimpik negara, Khairulnizam Mohd Affendy (MYA) meneruskan persembahan baiknya dalam kelas Laser Standard untuk terus mendahului kedudukan walaupun Nik Ashraf Qaedi (PPLNP) dan Azri Sulaiman (TESA) cuba memberi tekanan kepada pelayar yang berasal dari Kedah itu.

Kedudukan kelas-kelas lain masih kekal dengan pelayar-pelayar MYA; Muhammad Faizal Norizan, Khairunnisa Mohd Affendy dan Nuraishah Jamil bersama krew masing-masing mendominasi kedudukan tiga teratas dalam kelas International 420.

Mohamad Danial Fauzi (MYA) pula mendahului kelas Windsurfing apabila kejayaannya menamatkan tiga perlumbaan semalam di tempat pertama memberikan kelebihan empat mata dari pencabar-pencabar terdekatnya, Muhammad Husaini Mohd Rodzi (PPLNP) dan dua wakil dari Kelab Renang Pulau Pinang (PSC); Zainal Misran dan Ivie H Low.

Pelayar-pelayar Johor pula menguasai kelas Laser 4.7 dengan dua wakilnya, Nurulizzati Akmar Mohd Ruzaimi dan Mohd Fazarikman Mohd Faudzi menduduki dua tempat teratas kedudukan keseluruhan dengan Muhamad Danish Sahidan dari Persatuan Pelayaran Kedah (KSA) mengekori di tempat ketiga.

Dalam kelas Optimist, pelayar Majlis Sukan Negeri Melaka (MSNM), Ahmad Khairulhafiz Ahmad Khmbali mendahului kedudukan para peserta lain. Beliau diikuti oleh dua peserta dari negara Thai, Nopporn Booncherd dan Chanokchon Wangsuk yang masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.