Connect with:




Atlet perahu layar negara, Khairulnizam Mohd Afendy dan atlet boling padang wanita negara, Nurul Alyani Jamil dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati UiTM 2018 pada Majlis Anugerah Sukan UiTM 2018, malam tadi.

Difahamkan, Khairulnizam sebelum ini banyak mengharumkan nama negara apabila muncul sebagai tiga pelayar terbaik Asia dalam acara Laser Standard lelaki di Sukan Olimpik Rio 2016 selain layak ke temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 .

Atlet  berusia 26 tahun itu menyifatkan ianya adalah satu penghargaan apabila dinobatkan sebagai Olahragawan buat kali ke-empat.

“Ini kali pertama dinobatkan sebagai Olahragawan ketika di peringkat Ijazah, tiga kali ketika saya mengikuti pengajian peringkat diploma.

“Terima kasih kepada UiTM kerana membantu saya daripada segi pelajaran dan sukan. Insya-Allah saya akan teruskan kecemerlangan tahun lalu dan mencipta kemenangan tahun ini dan hadapan di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Saya akan sahut cabaran dan buat yang terbaik kerana bukan senang untuk dapat terbaik tetapi ia tidak mustahil,” katanya kepada Berita Harian.

Dalam pada itu, Nurul Alyani pula mencipta kejayaan apabila menjadi pemenang pingat perak dalam Kejohanan Juara-Juara Perseorangan Dunia 2018 dan pemenang emas Sukan SEA 2017

Baginya, kemenangan itu sekaligus dapat membuka mata masyarakat umum bahawa boling padang merupakan sukan bertaraf dunia dan perlu diberi perhatian.

“Calon olahragawati juga pencabar saya yang hebat dengan pencapaian cemerlang masing-masing.

“Tapi kali ini rezeki berpihak kepada saya untuk terpilih sebagai olahragawati buat kali pertama.

“Tahun ini sasaran utama saya adalah Sea Games selain kejohanan Asia Pasifik yang akan berlangsung di Gold Coast, Australia pada Jun depan,” katanya.

Sementara itu, kedua-dua atlet pelajar itu membawa pulang sijil, trofi serta hadiah wang tunai RM1,000 yang disampaikan oleh Naib Canselor UiTM Profesor Dr Mohd Azraai Kassim.

Foto: BERNAMA