Oleh : Faliq Firdaus

“Kami tewaskan mereka 1-o”. Itulah rangkap pertama yang diungkapkan oleh bekas penjaga gol kebangsaan, Khairul Azman Mohamed, ketika diminta mengulas mengenai perkembangan perlawanan persahabatan antarabangsa antara pasukan Malaysia dan Australia yang akan berlangsung esok.

“Kami tewaskan mereka dengan satu jaringan gol. Saya merupakan penjaga gol kebangsaan ketika itu. Pasukan Australia bermain dengan corak pantas dan menyerang secara bertubi-tubi. Mujur kami dapat menyerap segala asakan dan berjaya menjaringkan satu gol melalui serangan balas. Sepanjang perlawanan tersebut, kami bermain secara bertahan dan menyerang melalui serangan balas. Taktik tersebut berjaya melumpuhkan pasukan mereka.”

Pasukan Malaysia pernah menewaskan pasukan Australia, 1-0, dalam perlawanan persahabatan pada 1992, dan Khairul Azman merupakan penjaga gol utama kebangsaan ketika itu.

“Akan tetapi, kini pasukan kebangsaan juga telah menerapkan permainan pantas. Sukar untuk meneka sama ada skuad kebangsaan mampu mencipta kejutan atau sebaliknya. Semuanya bergantung kepada prestasi yang akan dipamerkan oleh para pemain di atas padang.”

Beliau juga turut menegaskan bahawa benteng pertahanan harus fokus dan tidak hanya mengharapkan penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat ketika menentang pasukan Australia kelak.

“Benteng pertahanan yang diketuai Norhafiz Zamani harus fokus dalam menyerap asakan mereka, dan saling membantu sesama mereka, termasuk penjaga gol, Khairul Fahmi. Kita tidak boleh meletakkan harapan di atas bahu Khairul Fahmi semata-mata. Bola sepak ialah permainan yang melibatkan 11 orang. Satu pasukan seharusnya bekerja keras.”

Khairul Azman Mohamed, 43, merupakan bekas penjaga gol kebangsaan yang pernah beraksi untuk pasukan Sabah dan Pahang. Beliau dahulunya pernah dinobatkan sebagai Penjaga Gol Terbaik Asia pada tahun 90an, tidak menafikan bahawa Khairul Fahmi Che Mat mampu mengulangi kejayaan yang sama.

“Khairul Fahmi mempunyai potensi untuk mendapat pengiktirafan seperti yang saya telah kecapi, malah lebih baik. Kuncinya ialah dengan memberikan persembahan yang terbaik dalam setiap perlawanan. Walau bagaimanapun, kepentingan negara harus diutamakan dan kepentingan peribadi adalah perkara kedua”, ujar Khairul Azman ketika ditanya mengenai pendapat segelintir peminat yang membandingkan kebolehan penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi dengan kebolehan beliau.

Khairul Azman yang kini sedang menjalani Kursus Kejurulatihan di Melaka sebagai persediaan menjelang musim baru Liga Malaysia pada tahun hadapan, turut berharap agar pengalamannya di arena antarabangsa mampu dicurahkan kepada generasi baru, terutamanya negeri keduanya, Sabah.

Beliau dipetik berkata, “Bagaimana sekiranya Khairul Fahmi dan penjaga gol berkaliber yang lain cedera? Kita perlu mempunyai pelapis yang berkualiti supaya kita tidak akan ketandusan penjaga gol suatu hari nanti. Jika diberi pilihan, saya ingin menabur bakti di negeri Sabah. Akan tetapi, sekiranya ada pasukan lain yang ingin mendapatkan khidmat saya, saya akan pertimbangkan dan boleh dibawa berbincang”.

Selain itu, pasukan kebangsaan kini sedang bersiap sedia untuk beradu tenaga menentang pasukan Australia, pada hari esok (7 Oktober 2011) di Stadium Canberra, tepat pukul 7 malam.

Antara nama yang digugurkan oleh Datuk K.Rajagobal ialah ketua pasukan, Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abd Radzak, dan Amirulhadi Zainal.