Connect with:




Jaguh sensasi Ireland, Conor McGregor terkulai di tangan petinju professional Rusia, Khabib Nurmagomedov yang sekaligus menyaksikan Khabib mempertahankan mahkota kejuaraan kategori lightweight Ultimate Fighting Championship (UFC) dalam pertarungan yang berlangsung semalam.

Kemenangan tersebut memastikan petinju berusia 30 tahun itu melebarkan rekod kemenangan kepada 27-0 sepanjang karier professional secara keseluruhan dan merupakan ke 11-0 bagi kategori UFC.

Gelanggang bertukar panas apabila Khabib yang tidak tahan dengan provokasi melampau dari pasukan McGregor bertindak melompat keluar gelanggang lalu menyerang rakan McGregor dan mengakibatkan berlaku kekecohan.

Kejadian itu mendapat kritikan pedas daripada Ketua UFC, Dana White yang mengambil keputusan tidak melakukan majlis penyerahan tali pinggang kepada Khabib kerana bimbang situasi bertambah tegang.

“Jika saya sarungkan tali pinggang kepada Khabib dan penonton mula membalingkan barang ke dalam Oktagon (gelanggang) pastinya ia tidak elok. Bagi saya ini merupakan sukan yang ada kehormatannya tersendiri dan saya tidak boleh terima provokasi seperti itu,” katanya.

Difahamkan perbalahan antara dua petinju terbaik dunia itu dipercayai bersifat peribadi apabila McGregor sebelum ini pernah menyerang bas yang dinaiki pasukan Khabib sehingga menyebabkan kecederaan kepada dua lagi petinju, Ray Borg dan Micheal Chiesa pada April lalu.

Keadaan bertambah keruh apabila sikap McGregor yang sering melakukan provokasi berunsur Islamophobia terhadap pendirian tegas Khabib dalam melaksanakan tanggungjawapnya sebagai seorang Muslim.