Connect with:




Desas-desus mengenai kejuaraan lightweight dunia UFC yang dipegang Khabib Nurmagomedov akan ditarik balik terjawab dengan satu keputusan yang tidak digemari peminat Conor McGregor.

Presiden Ultimate Fighting Championship (UFC), Dana White dalam kenyataannya menerusi sebuah video di laman web UFC pada Selasa mengumumkan kejuaraan lightweight dunia UFC yang dipegang Khabib tidak akan dilucutkan walaupun beliau telah mencetuskan kekecohan selepas pertarungan menentang Conor, Sabtu lalu.

Menurut White jaguh seni beladiri campuran (MMA) Rusia itu tidak akan dilucutkan dari kejuaraan beliau dan sebarang tindakan ke atas Khabib akan ditentukan Suruhanjaya Atletik Nevada (NAC), bukanlah UFC.

“Memang dia mengekalkan kejuaraan miliknya itu dan beliau akan digantung NAC untuk tempoh mungkin empat hingga enam bulan,” jelasnya.

Selain itu, White turut memberitahu bahawa pihak NAC belum menyerahkan wang kemenangan Khabib kerana masih menunggu proses siasatan ekoran insiden pergaduhan dan dia mungkin akan berhadapan dengan denda.

“Semua wang kemenangannya sudah diambil (NAC) dengan hanya memberitahu mereka akan menyimpan wang itu dan bagi saya tidak perlulah sampai mengambil wang kemenangan milik Khabib.

“Mungkin jika mahu ambil, ambil saja AS$250,000 sebagai denda dan selebihnya serahkan kepada Khabib,” ujar White.

Pada masa sama, White turut berpendapat bahawa Khabib tidak perlu melompat ke kawasan penonton lalu menyerang kem McGregor.

“Saya tidak rasa ramai yang kurang jelas mengapa beliau bertindak sedemikian namun bagi saya beliau adalah juara dunia dan perkara sebegitu tidak perlu beliau lakukan.

“Seluruh dunia menjadi saksi anda menumpaskan Conor. Sepatutnya anda bangkit ambil tali pinggang lalu lilit dipinggang dengan bangga kerana anda juara Khabib dan biarkan saja mereka diluar gelanggang berkata kerana ianya tidak membawa apa-apa makna,” ujarnya lagi.

Selain itu White turut memberitahu bahawa beliau tidak pasti akan masa depan Khabib selepas ini kerana masih menanti proses siasatan sedang dijalankan.

McGregor nyata tidak sabar menantikan perlawanan ulangan menentang Khabib namun peminat UFC seluruh dunia terpaksa menunggu keputusan NAC terlebih dahulu bagi mengetahui bila juara dunia dibenarkan kembali ke gelanggang.

Foto : Facebook UFC

Sumber : Mirror