Connect with:




Ultimate Fighting Championship (UFC) bakal kehilangan petarung sensasi Russia, Khabib Nurmagomedov jika rakan sepasukan yang juga rakan karibnya selama 10 tahun, Zubaira Tukhugov diharamkan dari sukan beladiri campuran (MMA).

Khabib mengancam untuk meninggalkan UFC jika pihak Dana White tidak mengubah keputusan tersebut (pergantungan Zubaira) dan memberitahu UFC serta Suruhanjaya Atletik Nevada (NAC) supaya menyimpan wang kemenangannya.

Semasa insiden pergaduhan di T-Mobile Arena, Ahad lalu, Zubaira dan seorang lagi rakan pelatih dari sukan MMA Khabib, Islam Makhachev menyerang Conor McGregor dan tindakan mereka itu telah membuatkan White berang malah berjanji akan mengharamkan Khabib dan Islam dari sebarang aktiviti MMA.

NAC turut menahan wang kemenangan Khabib sejumlah AS$1.5 (RM6.24 juta) selepas perlawanan sementara siasatan dijalankan.

Khabib di laman instagramnya mempertikaikan tindakan UFC dan NAC yang seolah-olah berat sebelah dalam menjatuhkan hukuman serta mengadili isu pergaduhan itu.

“Mengapa UFC tidak bertindak menghukum individu (McGregor) yang menyerang bas (Brooklyn April lalu) dan hampir meragut nyawa?

“Kenapa kami patut berdiam ketika negara, agama dan keluarga kami dihina ? Kenapa Cuma rakan sepasukan saya saja yang kena tindakan sedangkan pergaduhan tercetus dari kedua-dua kem ?,” jelasnya.

Beliau turut memberitahu jika UFC ingin menghukum, sebaliknya hukumlah beliau kerana dia yang mencetuskan pergaduhan itu.

“Tak perlulah kalian menghukum Zubaira tetapi hukumlah saya jika merasakan hendak menghukum. Anda (UFC) pecat Zubaira, anda juga kehilangan saya.

“Tidak akan sesekali bangsa Russia meninggalkan saudara mereka dan pastinya kami akan teruskan berjuang hingga penamat,” ujar Khabib.

Dalam pada itu Khabib turut menambah “ Kamu boleh simpan wang saya, jelas sekali kamu terlalu sibuk mengenai hal itu dan bagi saya maruah serta sahabat saya lebih berharga.”

Tarikh 27 Oktober nanti sepatutnya Zubaira turun menentang Artem Lobov di UFC Fight Night 138 di Kanada namun UFC telah mengeluarkan kenyataan mengesahkan perlawanan itu dibatalkan serta merta dan lawan baru bakal menanti Lobov.

Difahamkan punca disebalik ‘drama’ perang menjelang UFC 229 di Las Vegas, Ahad lalu adalah berkait dengan Lobov yang merupakan rakan sepasukan McGregor.

 

FOTO : Facebook Khabib “the Eagle” Nurmagomedov

SUMBER : Bloody Elbow.Com