Connect with:




Bayangan satu pertarungan  menarik digambarkan juara bertahan lightweight UFC, Khabib Nurmagomedov jika hajatnya untuk bertemu Floyd Mayweather Jr. menjadi nyata.

Khabib membayangkan pertarungan beliau dan Mayweather mampu menjadi lebih epik berbanding ketika juara tinju dunia itu bertemu Conor McGregor.

“Saya yakin pertembungan kami mampu menjadi dua kali ganda lebih menarik  kerana ianya bakal mempertemukan dua lawan yang belum pernah tunduk.

“Itu yang menjadikannya lebih menarik kerana di akhirnya pasti akan ada yang jatuh atau mengundur, saya yakin ianya pasti menarik,” katanya menerusi satu sidang media di Moscow ketika melancarkan autobiografinya.

Petinju Russia yang dikenali dengan gelaran “The Eagle” itu ‘mencuit’ nama petinju yang belum pernah tewas (Mayweather) untuk turun berentap pada Oktober lalu bagi menjadi lawan beliau seterusnya.

Presiden UFC, Dana White bagaimanapun menegaskan pertarungan hanya mungkin terjadi jika ianya di gelanggang UFC tidak seperti ketika Mayweather bertemu McGregor dimana ianya berlangsung di arena tinju.

“Ianya mungkin berlaku mungkin tidak tapi jika ianya terjadi, pertarungan haruslah di gelanggang UFC bukan di arena tinju,” ujar White.

Pada Ogos tahun lalu, Mayweather memerlukan 10 pusingan sebelum berjaya menundukkan McGregor menerusi knock-out (KO).

Sementara Nurmagomedov pula belum pernah tunduk dalam 27 pusingan UFC termasuk ketika beliau mengatasi McGregor Oktober lalu.

Susulan satu pergaduhan yang terjadi antara Nurmagomedov dan McGregor sejurus selepas pertarungan mereka di UFC 229 Las Vegas, kedua-dua petinju itu kini sedang menjalani penggantungan oleh Suruhanjaya Atlet Nevada (NSAC).

Satu sesi pendengaran diadakan NSAC pada 10 Disember ini ke atas Khabib dan Conor sebelum mereka diberi kebenaran untuk kembali ke gelanggang.

 

Foto : AFP

Sumber : Rappler