Presiden COBRA, Left. Kolonel (Bersara) Tommy Pereira (kiri) bersama Pengetua SMK KGV, Tuan Haji Mohd bin Mohd Isa memperagakan trofi kejohanan

 

COBRA dengan kerjasama CIMB Foundation terus menjadi tulang belakang pembangunan sukan ragbi di peringkat sekolah dengan membantu SMK King George V (KGV), Seremban dalam menganjurkan Kejohanan Rugby KGV 10’s yang berlangsung pada 22 hingga 23 September ini.

Kejohanan yang memasuki edisi ke-7 tahun ini bakal menawarkan piala pusingan serta hadiah wang tunai sebanyak RM 1000 kepada juara keseluruhan. Dua kategori iaitu bawah-14 dan bawah-16 tahun akan diadakan dengan penyertaan sebanyak 64 pasukan dari  45 buah sekolah sekaligus menjadikannya kejohanan rugbi paling besar pernah dianjurkan oleh sesebuah sekolah.

Menurut Presiden COBRA, Left. Kolonel (Bersara) Tommy Pereira, COBRA dan CIMB Foundation sentiasa menyokong kejohanan-kejohanan peringkat umur ini demi membangunkan lagi sukan ragbi negara.

“Selain dari sokongan terhadap penganjuran kejohanan, kami juga sentiasa mengadakan klinik ragbi buat anak-anak muda ini serta menyediakan kursus kejurulatihan dan kepengadilan untuk guru-guru di sekolah bagi mencungkil bakat-bakat baru rugbi negara” tambahnya lagi dalam sidang media Kejohanan Ragbi CIMB Foundation-COBRA-KGV 10’s 2012.

Bagi penganjur kejohanan, SMK KGV pula, mereka sudah bersedia sepenuhnya untuk menganjurkan kejohanan ini terutamanya dari segi penginapan buat kesemua peserta dan petugas.

Selain itu, KGV juga turut berhasrat untuk menjuarai kejohanan ini sekaligus menamatkan kemarau kejohanan selepas kali terakhir memenanginya pada edisi 2008.

“Sebagai tuan rumah, sudah semestinya kami mahu menjuarai edisi kali ini. Kemenangan ini pastinya akan mengukuhkan lagi KGV selaku ‘kilang’ pemain-pemain ragbi terhebat khususnya di Negeri Sembilan” ujar pengetua SMK KGV, Tuan Haji Mohd bin Mohd Isa.

Edisi tahun lalu menyaksikan Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESSMA) muncul juara kategori bawah 14 tahun manakala kategori bawah 16 tahun dimenangi Sekolah Sukan Bandar Penawar (SSBP).