Connect with:




Bekas Ketua Jurulatih  Home United, Singapura, Aidil Sharin Sahak dipilih Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) untuk mengisi kerusi panas sebagai pengendali skuad Helang Merah bagi mengharungi saingan lebih mencabar pada Liga Malaysia (Liga M) musim hadapan.

Pihak KFA menerusi presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, mereka sedang melakukan rundingan peringkat akhir sebelum mengesahkan kontrak dengan Aidil Sharin.

Pada masa sama beliau turut mengumumkan Ketua Jurulatih Piala Presiden, Victor Andrag sebagai penolong jurulatih.

“Besar keyakinan KFA terhadap gandingan Aidil Sharin dan Victor Andrag mampu mengembalikan kegemelingan skuad Helang Merah musim hadapan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Majlis Ekssekutif KFA di Alor Setar semalam.

Musim ini Kedah  yang gagal meloloskan diri dari peringkat kumpulan saingan Piala Malaysia pernah menggunakan khidmat tiga jurulatih bermula dari Ramon Marcote, Mohd. Nidzam Adzha, dan Azzmi Abd. Aziz.

Menteri Besar Kedah itu turut menegaskan bahawa pihak KFA tidak akan campur tangan dalam urusan pemilihan pemain termasuk pemain import kerana itu akan menjadi tanggungjawab jurulatih sepenuhnya.

“Buat masa sekarang masih ada lima pemain tempatan yang berbaki kontrak bersama pasukan Kedah sehingga hujung musim depan.

“Sementara kontrak lain termasuk lima pemain import akan tamat pada penghujung musim ini,” jelasnya lagi.

Sumber : Kosmo