Connect with:




Siri jelajah Malaysian Tigers yang diatur oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) melaburkan tirai semalam dengan Tokyo Jepun merupakan destinasi terakhir skuad lelaki negara menamatkan 13 perlawanan dalam tempoh sebulan.

Kejohanan Ujian Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang berlangsung di Jepun menyaksikan empat perlawanan yang dilalui skuad negara tamat dengan kekalahan. Terdahulu di Eropah, Malaysia telah melalui enam perlawanan ujian serta tiga perlawanan di Kejohanan Jemputan Empat Negara di mana skuad negara merekodkan tiga kemenangan, satu seri dan lima kekalahan.

Malaysia membariskan 20 pemain termasuk pemain utama yang berpengalaman ketika di Eropah namun pertukaran dilakukan ketika skuad negara menyambung perjalanan mereka ke Jepun dengan pemain senior seperti Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil, Muhammad Razie Abd Rahim, Faizal Saari dan Mohd Fitri Saari tidak tersenarai di samping Adrian Andy Albert, Muhammad Najib Abu Hassan, Joel van Huizen dan Muhammad Arif Syafie Ishak turut tidak ke Tokyo.

18 pemain diterbangkan ke Tokyo Jepun dengan peluang diberikan kepada pemain yang tidak menyertai siri jelajah di Eropah seperti Muhammad Hafizuddin Othman, Nabil Fiqri Mohd Noor, Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran, Muhammad Najmi Farizal Jazlan, Muhammad Amirol Aideed Mohd Arshad dan Mohamad Ashran Hamsani.

Pengendali negara, Roelant Oltmans menegaskan siri jelajah yang diatur merupakan medan untuk barisan kejurulatihan mengenalpasti pemain terbaik yang akan dibariskan pada Kelayakan Sukan Olimpik hujung tahun ini selain pasukan telah menjangkakan dari awal bahawa mereka akan berdepan risiko tidak dapat mengekalkan aksi terbaik dihujung siri jelajah.

“Di awal siri jelajah kami menyedari bahawa kami akan berdepan dengan risiko tidak dapat memberikan aksi yang terbaik pada penghujung siri jelajah kerana ia menuntut keupayaan yang luar biasa daripada pemain sama ada secara fizikal mahupun mental.

“Setiap pemain yang berada di dalam senarai dan tidak mengalami sebarang kecederaan sama ada yang beraksi di Eropah mahupun di Jepun atau kedua-duanya menyedari dari awal bahawa siri jelajah ini adalah salah satu daripada proses pemilihan untuk skuad ke Kelayakan Sukan Olimpik Tokyo.

“Ia bukan hanya menguji dari segi taktikal tetapi juga dari segi mental serta fizikal semua pemain dan kami telah mengumpul banyak maklumat berguna ketika beraksi dengan pasukan terbaik di dunia,” jelasnya.

Roelant turut menjelaskan keadaan yang berlaku ketika di Tokyo Jepun yang menyaksikan skuad negara tewas kesemua perlawanan.

“Pasukan tiba di Tokyo dengan 12 pemain telah mengharungi sembilan perlawanan di Eropah dan mereka perlu mengatasi tujuh jam jetlag dalam tempoh tiga hari dua malam di mana secara fizikal ia adalah sesuatu yang mustahil.

“Disebabkan masalah tersebut kami tidak dapat beraksi dengan baik ketika bertemu India tetapi kami bermain dengan lebih baik pada pertemuan dengan Jepun dan pemain menunjukkan satu prestasi yang cemerlang untuk tiga suku yang pertama.

“Ketika bertemu Jepun juga kami kekurangan pemain dan kami tewas pada suku terakhir kerana tidak dapat untuk menyaingi mereka secara fizikal.

“Perkara yang sama berlaku ketika perlawanan dengan New Zealand di mana kami bermula dengan baik tetapi tidak dapat mengekalkannya hingga hujung perlawanan.

“Perlawanan terakhir dengan Jepun untuk penentuan tempat ketiga dan keempat di separuh masa yang pertama ia adalah persembahan terbaik yang diberikan oleh pemain sepanjang siri jelajah dan pasukan memberikan sepenuh tenaga yang tinggal.

“Namun apabila Jepun mula menjaringkan dua gol keupayaan pemain tidak lagi sama dan ditambah dengan kesilapan individu yang dilakukan kami tewas dengan margin yang besar.

“Walaupun kami melepaskan banyak gol daripada apa yang kami mahukan tetapi saya percaya setiap maklumat yang kami miliki sepanjang siri jelajah juga menerusi program yang diatur, pasukan Malaysia memiliki peluang yang cerah untuk layak pada bulan Oktober nanti,” ujarnya lagi.

Skuad negara dijangkan tiba di tanah air pada Jumaat, 23 Ogos jam 7.00 pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan akan berehat sebelum pasukan kembali menjalani latihan pada Selasa, 3 September 2019.