Connect with:




Tidak dinafikan acara 100 meter (m) yang telah berlangsung di Stadium Perak semalam merupakan acara yang paling mencuri tumpuan serta dinanti-nantikan peminat sukan olahraga seluruh negara pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2018.

Disaat tumpuan terarah kepada dua atlet kebangsaan yang mewakili negara pada temasya Sukan Asia 2018 di Indonesia yang lalu, pelari pecut Selangor, Muhammad Aqil Yasmin tampil dengan catatan  10.39 saat (s) berjaya mencuri tumpuan apabila mengesahkan gelaran Raja Pecut Sukma 2018 menjadi milik beliau.

Menurut laporan Berita Harian, Aqil yang tidak berstatuskan atlet kebangsaan dan berada di bawah bimbingan jurulatih luar, Simon Lau, berjaya mengetepikan cabaran wakil Negeri Sembilan, Muhammad Haiqal Hanafi yang berpuas hati dengan pingat perak apabila ketinggalan 0.04s di belakang Aqil.

Sementara pingat gangsa menjadi milik pelari Terengganu,  Muhammad Zulfiqar Ismail dengan catatan 10.46s.

Ketika ditemui, Aqil mengakui bahawa kejayaan meraih pingat emas serta mencipta rekod peribadi terbaiknya itu adalah pengubat kepada kekecewaan berada di tempat keempat pada temasya dua tahun lalu di Sarawak.

“Alhamdulillah saya berjaya memadamkan catatan peribadi lama (10.48s) dan menebus kekecewaan pada Sukma yang lalu.

“Terima kasih buat semua yang menyokong saya, dorongan serta nasihat jurulatih, Simon Lau banyak membantu saya untuk fokus dan mengekalkan rentak larian saya,” katanya.

Kali terakhir Aqil, 18, mewakili negara adalah pada kejohanan luar iaitu Kejohanan Universiti Dunia tahun lalu.

Aqil berharap kejayaan beliau itu akan menarik perhatian Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) serta Majlis Sukan Negara (MSN) untuk memberi peluang buat dirinya untuk mewakili skuad kebangsaan.