Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini telah melantik jurulatih dari Portugal, Nelo Vingada sebagai ketua jurulatih baharu skuad bolasepak kebangsaan.

Vingada mempunyai pengalaman besar dalam bolasepak Asia dimana pernah menjadi pengendali pasukan Arab Saudi, Iran dan Jordan. Beliau juga pernah membimbing beberapa kelab terkemuka Asia seperti Seoul FC (Korea Selatan), Persepolis FC (Iran) dan Dalian Shide FC (China).

Bagi Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, pelantikan Vingada dibuat berdasarkan karekternya yang tegas, selain mempunyai personaliti dominan dan kesungguhan untuk mencapai misi yang telah ditetapkan.

“Saya mahu jurulatih yang juga boleh menjadi seorang guru. Dalam pasukan kebangsaan, ia tidak hanya mengenai kejurulatihan tetapi juga untuk memberi pendidikan kepada pemain kami.

“Dengan pengalaman dan usianya, kami melihat beliau sebagai jurulatih terbaik yang akan membantu pasukan kebangsaan meraih kejayaan.

Vingada bakal tiba di Malaysia pada 25 Mei ini danseterusnya memulakan tugas mempersiapkan Harimau Malaya untuk menghadapi Korea Utara dalam perlawanan kelayakan Piala Asia,  8 Jun ini.