Connect with:




 

Virgil van Dijk menggenggam tangannya menandakan kepuasan selepas Liverpool mencatat kemenangan 2-1 ke atas Fulham yang penuh dramatik walaupun berlaku situasi kesilapan ‘rare’ Van Dijk.

Walau bagaimanapun, Van Dijk yang cemerlang sepanjang musim 2018-19, telah melakukan kesilapan yang jarang dilakukannya apabila beliau tidak sengaja menanduk perlahan bola ke arah pintu gol sendiri seterusnya disambar oleh Ryan Babel di Craven Cottage, untuk jaringan penyamaan tuan rumah pada minit ke-76.

Kesilapan dalam komunikasi antara Van Dijk dan Alisson Becker membolehkan Ryan Babel yang juga rakan sepasukan tengah Belanda bersama Van Dijk untuk membolosi gawang bekas kelabnya itu.

Sebelum itu, Liverpol berjaya berada di depan pada minit ke-26 melalui Sadio Mane manakala James Milner menjadi penyelamat The Reds selepas berjaya menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-81 seterusnya meraikan jaringan dengan gaya menggenggam tangan sama seperti yang dilakukan Van Dijk.

“Ia adalah salah satu situasi di mana anda cuba meredakan perlawanan kembali. Bola itu terlalu rendah dan bola itu sukar diperoleh dan Ryan bagus untuk memintas bola dan menjaringkan gol.

“Liverpool memberi kepercayaan kepada saya tetapi jelas sekali kadang-kadang kesilapan berlaku dalam perlawanan. Kesalahan adalah sebahagian daripada bola sepak, anda perlu mengambilnya dan saya juga perlu melakukan perkara yang sama,” kata Van Dijk kepada Liverpoolfc.com.

Kemenangan tersebut telah mengembalikan Liverpool berada semula di atas Manchester City dalam carta liga setakat ini.

Walau bagaimanapun, Van Dijk percaya Fulham pasti mencuba sedaya upaya untuk mendapatkan tiga mata penuh untuk membaiki kedudukan untuk keluar dari zon penyingkiran.

“Saya fikir pada babak pertama kami mungkin boleh mengawal permainan dan menjaringkan gol kedua dan menjadikannya sedikit lebih mudah pada babak kedua.

“Pada babak kedua, mereka jelas lebih bertenaga dan mereka bermain dengan bebas kerana mereka tidak mempunyai apa-apa tekanan. Saya fikir kami memberi kesukaran untuk kami sendiri dengan kemungkinan bakal mengalami kekalahan, tapi akhirnya kami mendapat tiga mata dan itulah yang penting,” katanya.

The Reds kini berada dua mata di depan Manchester City yang mempunyai kurang satu perlawanan liga. Pada masa yang sama, mereka juga akan menghadapi suku akhir pertama Liga Juara-Juara menentang FC Porto di laman sendiri nanti.

Apabila ditanya tentang jangkaan pasukannya yang menuju ke minggu-minggu akhir musim ini, Van Dijk melanjutkan: “Ia tidak buruk, tidak. Media membuatkan kadang-kadang ianya menjadi negatif!

“Ia kedudukan hebat yang kami ada dan kami perlu menikmatinya tetapi kamu pasti tahu apa yang kami mahu. Ia akan menjadi sukar kerana Manchester City hebat dan Liga Juara-Juara sangat sukar seperti yang kita tahu, jadi kita akan lihat nanti. Kami akan melalui setiap perlawanan dengan baik,” jelas Van Dijk lagi.

Foto : Liverpool FC