Connect with:




Selepas pasukannya memperagakan beberapa siri keputusan mengecewakan dalam saingan Formula Satu (F1) 2018, pelumba Ferrari, Sebastian Vettel menegaskan Ferrari perlu membuktikan keupayaan mereka yang sebenar.

Aksi hambar yang dipamerkan di Jepun menjadi penamat kepada pemburuan kejuaraan buat Ferrari dan Vettel meskipun pada awal musim mereka menguasai saingan berbanding pesaing terdekat, Mercedes.

Kesilapan demi kesilapan dilakukan pemandu serta pasukan Ferrari memberi ruang buat Lewis Hamilton memanfaatkan peluang merekodkan enam kemenangan daripada tujuh perlumbaan terakhir sekaligus membolehkan beliau untuk meraih gelaran dunia kelima kurang dua minggu dari sekarang di F1 Amerika Syarikat nanti.

Saingan Ahad lalu di Litar Suzuka menyaksikan kesilapan pemilihan tayar yang dilakukan Ferrari pada peringkat kelayakan nyata mengundang padah apabila Vettel terpaksa bermula di petak kelapan sebelum terbabit kemalangan dengan pemandu Red Bull, Max Verstappen sebelum mengakhiri perlumbaan di kedudukan keenam.

“Saya yakin pasukan ini (Ferrari) mempunyai potensi yang hebat dan kami boleh pergi lebih baik. Minggu lalu sangat ketara ianya sukar buat kami, terlalu banyak silap hingga mereka (Mercedes) mengambil kesempatan untuk memintas.

“Keseluruhannya saya rasa kami boleh berada di kedudukan lebih baik atau mungkin keluar sebagai pemenang tapi kami memilih tidak, jadi pasti ianya berlaku kerana sebab tertentu,” jelas Vettel.

Pada masa sama pelumba Jerman itu menegaskan bahawa beliau dan rakan sepasukan akan bangkit di Amerika untuk meraih kedudukan yang lebih baik.

“Kami memandang ke depan, benar minggu lalu amat sukar buat kami namun masih ada semangat dalam diri pasukan ini, jika anda lihat keadaan pasukan saya, memang menakjubkan untuk melihat betapa kuat mereka, sangat positif di sepanjang musim ini.

“Itu adalah sumber pasukan ini kekal kuat malah ianya sumber untuk kami bertambah kuat pada perlumbaan seterusnya. Saya yakin pasukan ini masih mempunyai banyak potensi untuk dipersembahkan dan kami perlu berkerja keras untuk mencarinya,” ujarnya lagi.

 

Foto : Facebook Ferrari F1 Racing Team

Sumber : Sky Sports