Affendi (2), Norizman (1) dan Ahmad Fuad (26) meraikan kemenangan selepas menamatkan perlumbaan

 

Kerjasama berpasukan menjadi kunci kejayaan buat duo Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing 1, Mohd Affendi Rosli dan Norizman Ismail untuk mencatat kemenangan satu – dua dalam kategori CP130 pada Pusingan 8 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2012 di litar Stadium Hang Jebat, Melaka, hari ini.

Gandingan Affendi dan Norizman berjaya mengetepikan cabaran Ahmad Fuad Baharudin (Faito Motobert Racing) setelah Affendi berjaya melintasi garisan penamat perlumbaan sebanyak 15 pusingan dengan masa keseluruhan 12 minit 35.942 saat. Norizman di kedudukan kedua dengan masa 12:36.082s manakala Ahmad Fuad, 12:36.303s.

“Memang dari awal lagi kami merancang strategi untuk saling bantu membantu pada perlumbaan kali ini dan akhirnya ia berjaya. Selepas saya berjaya mendahului perlumbaan, Norizman turut bekerja keras untuk menutup ruang bagi mengelakkan Ahmad Fuad daripada memintasnya dan pada masa sama, dia turut membuka ruang agar saya terus selesa di hadapan.

“Saya sangat-sangat berterima kasih kepada Norizman dan juga seluruh krew pasukan kerana turut menyediakan jentera yang terbaik pada perlumbaan kali ini sekaligus menghadiahkan kemenangan pertama yang saya nantikan sepanjang tahun ini,” jelas Affendi.

Affendi (2) memimpin perlumbaan CP130

 

Sementara itu, bagi Norizman, dia turut bergembira dengan kemenangan yang diraih oleh Affendi. “Affendi agak ketinggalan dalam senarai keseluruhan jadi saya fikir, dengan kejayaan ini, dia dapat memperbaiki kedudukannya. Selain daripada membiarkannya terus berada di hadapan, saya terpaksa menghalang Ahmad Fuad daripada memintas saya. Mujurlah juga jentera rakan sepasukan Ahmad Fuad, Ahmad Fazrul Sham mengalami masalah walaupun pada ketika itu dia sedang mendahului perlumbaan. Jika tidak, tugas kami mungkin bertambah sukar.

“Mata yang dipungut oleh kami berdua pada hari ini bukan sahaja penting untuk diri kami sendiri, malah ia dapat membantu menghidupkan peluang bagi kami mempertahankan Anugerah Berpasukan Keseluruhan yang dimenangi pada musim lalu,” jelas Norizman.

Sekalipun sekadar menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan, Azlan Shah Kamaruzaman (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing 2) terus mendahului kedudukan keseluruhan CP130 dengan mengumpul 127 mata manakala Ahmad Fuad di tangga kedua dengan 113 mata. Mohd Zaqhwan Zaidi (Pachie Yuzy Honda Racing) di kedudukan ketiga dengan 99 mata.

KEPUTUSAN
CP130
Perlumbaan
1.Mohd Affendi Rosli (Honda) 12’35.942s 2.Norizman Ismail (Honda) 12’36.082s 3.Ahmad Fuad Baharudin (Yamaha) 12’36.303s 4.Mohd Zaqhwan Zaidi (Honda) 12’36.552s 5.Mohd Zamri Baba (Yamaha) 12’37.522s

Kedudukan Keseluruhan
1.Azlan Shah Kamaruzaman (Honda) 127 mata 2.Ahmad Fuad Baharudin (Yamaha) 113 mata 3.Mohd Zaqhwan Zaidi (Honda) 99 mata 4.Ahmad Fazrul Sham (Yamaha) 91 mata 5.Norizman Ismail (Honda) 91 mata

Anugerah Berpasukan
1.Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing 2 205 mata 2.Faito Motobert Racing 204 mata 3.Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing 1 169 mata 4.Pachie Yuzy Honda Racing 137 mata 5.Yamaha Maju Motor Racing 96 mata