Connect with:




POLIS menemui semula Proton Iswara milik pemain bola sepak negara N Thanabalan di sebuah stesen minyak di Ampang, awal pagi hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, kereta berkenaan ditemui kira-kira 3 pagi susulan maklumat orang awam.

“Pada masa ini kita sedang mengumpulkan segala maklumat bagi menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti suspek yang terbabit.

“Siasatan pada masa ini sedang dilakukan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak,” katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Dalam kejadian pada 5 pagi semalam, kereta berkenaan dilaporkan hilang selepas pemain pasukan Negeri Sembilan itu meletakkannya tidak jauh dari Batu Caves ketika dia menghadiri sambutan Thaipusam.

Thanabalan yang menaiki kereta itu bersama keluarganya dari Senawang, Seremban dilaporkan meletakkan kereta berkenaan pada 3 pagi.

Dia kemudian membuat laporan polis di IPD Gombak berikutan kehilangan kereta keduanya yang dibeli, dua tahun lalu.

Tidak lama selepas membuat laporan polis, Thanabalan memaklumkan kejadian berkenaan menerusi laman sosial Facebook dan Instagram peribadinya dan berharap orang ramai yang melihat kereta itu menghubunginya dengan segera.

Sumber: Harian Metro