Connect with:




Kerajaan terus komited dalam memastikan kebajikan atlet dan bekas atlet kebangsaan terjaga apabila kabinet bersetuju untuk menyuntik dana RM3 juta kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB).

Selain itu, kemudahan perubatan dan kesihatan turut diberikan kepada atlet dan bekas atlet sebagai penghargaan kepada usaha dan keringat yang dicurahkan mereka buat negara.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata inisiatif ini juga merupakan satu pengiktirafan kerajaan kepada atlet dan bekas atlet kebangsaan yang membawa nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Kabinet telah bersetuju dengan cadangan untuk memberikan kemudahan perubatan dan kesihatan buat para atlet/bekas atlet kebangsaan yang telah berjuang memartabatkan arena sukan negara.

“Bantuan serta kemudahan perubatan dan kesihatan ini merupakan komitmen kerajaan yang signifikan terhadap kebajikan dan kesihatan atlet/bekas atlet,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini

Dalam pada itu, kemudahan yang disediakan termasuk rawatan pesakit luar dalam dalam di semua premis kesihatan kerajaan bagi atlet/bekas atlet yang pernah mewakili negara dalam kejohanan tidak kurang daripada Sukan Asia Tenggara dan setara serta yang berada dalam senarai Majlis oOlimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).

Syed Saddiq juga menjelaskan atlet/bekas atlet kebangsaan yang tersenarai dalam mana-mana pasukan acara sukan teras yang sedang menjalani latihan dibawah kendalian Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) turut layak menerima kemudahan ini.

Pada masa yang sama, Syed Saddiq menyifatkan suntikan dana RM3 juta kepada YAKEB sebagai keprihatinan kepada bekas atlet kebangsaan.

“Kerajaan berharap kebajikan bekas atlet kebangsaan akan lebih terjaga dengan adanya inisiatif ini,” tambahnya. -BERNAMA